Sabtu, 31 Julai 2010

RM100 ribu untuk Pusat Pengajian Hayatul Uloom

SELANGOR KINI

Hulu Langat: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan 100 ribu ringgit kepada pusat Pengajian Hayatul Uloom, Batu 14 Hulu Langat bagi membina semula asrama pusat pengajian yang musnah dalam kebakaran 25 Julai lalu.

Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan bersama-sama Pejabat Daerah /Tanah Hulu Langat berkunjung ke tapak pengajian itu untuk menyerahkan sumbangan berkenaan.

Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang bersimpati atas tragedi berkenaan dan pihaknya sudah memastikan kerja pembinaan semula dilakukan segera dengan memaklumkan masalah itu kepada pimpinan kerajaan negeri.

Pakatan Rakyat selama ini sentiasa menitik berat soal pendidikan dan modal insan, malah menyediakan peruntukan RM6 juta untuk Sekolah Agama manakala RM4 juta untuk Sekolah Kebangsaan Jenis India dan Cina.

Dr Halimah turut bersimpati kerana kebakaran berkenaan meragut nyawa seorang penuntut iaitu Abdul Rahman Rosmani dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu.

“Kita kesal kerana ada kehilangan jiwa pelajar sekolah ini,kita mengharapkan dengan ada bantuan secara teknikal daripada JKR dengan spek-speknya kita mengharapkan kemudahan lebih baik untuk kegunaan semua pelajar”

Pengetua Pusat Pengajian Hayatol Uloom, Dr Shahril Hussin pula berharap kejadian itu tidak mematahkan semangat penuntut lain dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas segala sumbangan yang diterima mereka.

Beliau juga menganggap keprihatiann kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan kunjungan Dr Halimah memberi semangat kepada beliau dan pelajar untuk terus berhadapan dengan segala bentuk cabaran dalam memartabat ilmu agama.

Tiada ulasan: