Khamis, 22 Julai 2010

Rayuan KDN Terhadap Pembebasan Raja Petra Daripada ISA Diteruskan

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dua tahun lepas untuk membebaskan penulis blog Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah Persekutuan diberitahu di sini, Rabu.

Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria memberitahu tiga panel hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bahawa beliau telah menerima arahan untuk berbuat demikian (meneruskan rayuan itu).

Panel itu juga mengandungi Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Abdull Hamid Embong kemudian membenarkan permohonan Najib untuk menanggguhkan rayuan itu ke tarikh lain kerana peguam Raja Petra tidak hadir pada proseding tersebut.

Najib juga memberikan perakuan bahawa beliau akan menghubungi peguam Raja Petra. Dalam proseding itu, Hakim Zulkefli juga mempersoalkan Najib sama ada rayuan itu boleh diteruskan tanpa kehadiran Raja Petra, yang juga editor laman web Malaysia Today.

Abdull Hamid juga mempersoalkan Najib berkaitan pelaksanaan perintah terhadap Raja Petra yang dipercayai berada di luar negara, jika kementerian itu berjaya dalam rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

Zulkefli kemudian meminta Najib untuk membincangkan dengan peguam Raja Petra berkaitan perkara tersebut.

Pada 7 November, 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA setelah keputusan bahawa penahanan beliau selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak adalah tidak sah.

Raja Petra ditangkap pada 12 September, 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan nasional dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September, 2008.

Penulis blog itu ditahan atas alasan beliau antara lain, memiliki dan mengusahakan laman web Malaysia Today dan berniat dan sengaja menyiarkan artikelnya dan juga komen pembaca dalam Malaysia Today yang kritikal dan menyinggung perasaan orang Islam, kesucian Islam dan Nabi Muhammad.

Dalam permohonan habeas corpus, Raja Petra menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai reponden.

Tiada ulasan: