Khamis, 1 Julai 2010

Rayuan Benjy, lapan bekas tahanan ISA didengar 19 Julai

BERNAMA

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan habeas corpus pelakon Benjy dan lapan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara bersama pada 19 Julai.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, yang mengetuai panel tiga hakim, membenarkan permohonan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy supaya dua rayuan itu didengar secara bersama kerana ia melibatkan isu serupa.

Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria tidak membantah permohonan itu.

Dua hakim lain ialah Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Heliliah Yusof.

Antara isu yang terkandung dalam rayuan berkenaan ialah sama ada permohonan habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan seseorang daripada tahanan polis masih boleh diteruskan sekiranya orang berkenaan tidak lagi diletakkan di bawah tahanan polis selama 60 hari kerana ditahan mengikut perintah Kementerian Dalam Negeri.

Pada 5 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan habeas corpus Benjy, yang nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, agar dia dibebaskan daripada dikenakan tahanan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Bagaimanapun, sehari sebelum Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusannya, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop mengeluarkan perintah agar pelakon itu ditahan selama dua tahun di sebuah pusat pemulihan di Muar, Johor.

Pada 25 Mac, Benjy, 32, anak lelaki tunggal pelakon veteran Azean Irdawaty, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut, di sini pada pukul 4 petang 11 Mac.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin, tetapi selepas Azean membayar wang ikat jamin itu, Benjy ditangkap semula kerana didakwa terlibat dengan pengedaran dadah mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Sementara itu, pada 11 Mac, Mahkamah Tinggi menolak writ habeas corpus yang difailkan lapan orang yang ditahan mengikut ISA kerana disyaki terlibat dengan keganasan selepas ia (mahkamah itu) membuat keputusan bahawa permohonan mereka hanya bersifat akademik memandangkan mereka tidak lagi berada dalam tahanan polis.

Tujuh warga asing dihantar pulang ke negara asal masing-masing berhubung kes itu, manakala rakyat Malaysia Azzahari Murad dikenakan perintah kediaman terhad di Petaling Jaya. –

Tiada ulasan: