Selasa, 13 Julai 2010

PI Bala Tampil Bantu Siasatan Scorpene


TV SELANGOR

Penyiasat persendirian P.Balasubramian dijadualkan disoal siasat oleh polis Perancis malam ini berhubung kes penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia yang turut dikaitkan dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibbu.

Meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan mengambil langkah sama untuk menyoal siasat Bala, pihak berkuasa Perancis mempamerkan kesungguhan untuk mengetahui kebenaran di sebalik pembunuhan Altantuya dan dakwaan pembelian kapal selama oleh Malaysia membabitkan rasuah lebih setengah billion ringgit.

Pembelian kapal selam oleh Tentera Laut di-Raja Malaysia diluluskan Perdana Menteri Najib Razak ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan ketika itu.

Bala yang ditemani peguam Manjit Singh akan disoal siasat oleh polis di ibu negara Perancis.

“Bala telah tiba di Perancis pada waktu ini untuk menunggu temu duga terbabit dengan pihak Perancis” ujar Pengarah Strategik PKR, Tian Chua.

Bala adalah penyiasat persendirian yang diupah oleh sekutu Najib, Abdul Razak Baginda untuk memantau Altantuya ketika beliau ke negara ini pada tahun 2006.

Altantuya mati dibom pada Oktober 2006.

Abdul Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu.

Dua pegawai polis disabit atas tuduhan membunuh dan dihukum gantung sampai mati.

Dalam affidavit bersumpahnya, Bala antara lain mendakwa Najib, isterinya Rosmah Mansor dan adik Perdana Menteri Nazim terbabit dalam kes Altantuya sehingga memaksanya mencari perlindungan di luar negara.

Tian kesal dengan sikap acuh tidak acuh SPRM yang membatalkan temujanji untuk menyoal siasat Bala pada 2 Julai lalu di London.

Sebaliknya badan itu cuma menghantar beberapa soalan melalui pos untuk Bala menjawab.

" Apa yang saya rasa kesal ialah SPRM kita lebih cekap dari pihak Perancis. Tidak soal siasat. Hantar soalan kuiz, lepas itu menteri boleh jawab, tidak ada penyelewengan, tidak perlu siasatan oleh SPRM” tambahnya lagi.

Pihak Pendakwaraya Perancis sebelum ini diminta memulakan siasatan ke atas unsur rasuah dalam penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Siasatan itu turut membabitkan penjualan kapal selam oleh syarikat DCN dan anak syarikatnya Amaris kepada beberapa negara lain termasuk India dan Pakistan.

Suara Rakyat Malaysia, Suaram, mengupah peguam untuk memohon pejabat Pendakwaraya Perancis menyiasat penjualan dua kapal selam kepada Tentera Laut di-Raja Malaysia.

Suaram mengambil tindakan itu kerana dikatakan mempunyai bukti kukuh wujudnya unsur rasuah dalam penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Manakala Bala merupakan saksi utama dalam kes rasuah kapal selam Scorpene yang melibatkan komisyen bernilai ratusan juta ringgit berkenaan.

Malah dipercayai saksi penting dalam kes kematian model Monggolia, Altantuyaa Shaariibu.

Kapal selam Scorpene atau pun KD Tunku Abdul Rahman diterima pada 26 Jun 2009 namun dilaporkan gagal berfungsi.

" Kita difahamkan bahawa tempoh jaminan untuk kapal selam ini tamat pada 25 Jun tetapi ia berhadapan dengan masalah teknikal dilanjutkan kepada 25 Mei untuk membuat pembaikian. Jadi 25 Mei telah tamat warranty. Maksudnya kalau sekarang, masih belum menyelam, kita menghadapi masalah yang besar” tambahnya lagi.

Tian juga turut mendesak Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi menjelaskan hal berkenaan kepada rakyat kerana kapal itu dibeli menggunakan dana awam.

" Saya minta Menteri Pertahanan memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa kapal selam ini sering kali mengalami masalah dan menteri sendiri telah mengatakan bahawa kos penyelenggaraan dua buah kapal selam ini berjumlah RM270 setahun”.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata, pihak SPRM seolah-olah takut dengan Bala apabila enggan merekodkan keterangan beliau meskipun berpeluang berbuat demikian.

” SPRM seolah-olah takut berhadapan dengan Bala, saya kira SPRM ini merupakan Suruhanjaya Pondan Rakyat Malaysia” ujar Mahfuz.

Malah Naib Presiden PAS itu pantas menyindir sikap SPRM yang sebelum ini begitu bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan gejala rasuah di Malaysia apabila memfailkan rayuan setelah mahkamah memutuskan suruhanjaya itu tidak dibenarkan merakamkan keterangan saksi selepas waktu pejabat.

“ Tidak perlu lagi jadi macam Teoh Beng Hock jatuh bangunan bila mahkamah memutuskan tidak boleh siasat selepas tengah malam, mereka mintak rayuan”.

“ Adakah ini memberikan signal selepas ini kalau selepas ini SPRM, saya tidak perlu pergi, mereka cuma perlu hantar soalan kepada saya dan akan jawab melalui email” soal Mahfuz.

Malah Mahfuz juga turut kesal dengan sikap pihak berkuasa Malaysia yang tidak sensitif dalam dakwaan rasuah yang membelit pembelian kapal scopene oleh Malaysia.

“ Tapi malangnya kita lihat pihak asing, pihak Perancis ini yang merupakan negara pengeluar dan penjual, mereka sendiri mempunyai integiriti sebab mereka tidak mahu ada dakwaan mengatakan bahawa agensi-agensi dalam negara mereka itu mengamalkan rasuah tapi negara kita tidak sensitive apabila ada unsur-unsur rasuah dalam pembelian kapal selam” .

Tiada ulasan: