Isnin, 5 Julai 2010

PGPO anjur persidangan mengenai Gaza di Kuala Lumpur pada 11 Julai

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Satu persidangan antarabangsa bertajuk “Memecahkan Kepungan: Dalam Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara” akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 11 Julai ini.

Persidangan itu, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) antara lain akan membincangkan langkah dan usaha yang akan dilaksanakan bagi mencabar kepungan yang dilakukan secara haram di Gaza, menurut kenyataan PGPO yang dikeluarkan di sini hari ini.

Antara penceramah pada persidangan itu ialah Ketua Insani Yardim Yakfi (IFF) iaitu sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan Turki, Yildrim Bulent, bekas penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Denis J.Halliday dan ketua pasukan MV Rachel Corrie, Derek Graham.

“Pengerusi PGPO Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama manakala ucapan penutupan akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” menurut kenyataan itu.

Persidangan sehari itu akan diadakan di Dewan Tun Razak 1 di PWTC mulai 9 pagi. Masuk adalah percuma dan ia dibuka kepada orang ramai namun mereka dinasihati supaya datang awal memandangkan tempat duduk yang terhad.

Sebarang pertanyaan berhubung persidangan itu boleh dikemukakan dengan menghubungi 03-88858965 (Maizatul), 03-88858960 (Noorinsun), 019-3843913 (Dr Zulaiha Ismail) atau 019-9100090 (Shamsul).

Tiada ulasan: