Ahad, 11 Julai 2010

Perwakilan MIC mahu Samy Vellu terus kekal presiden


KUALA LUMPUR — Dua bulan lalu Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan hasrat untuk berhenti tahun depan tetapi hari ini perwakilan menggesa beliau tidak tunduk kepada tekanan, sebaliknya terus kekal sebagai Presiden MIC sehingga 2012.

Mandat Samy Vellu, 74, sebagai Presiden MIC selama tiga tahun hanya akan berakhir Mei 2012.

Dengan desakan-desakan ini timbul persoalan sama ada Samy Vellu akan menjelaskan pendiriannya mengenai pelan peralihan kuasa dalam ucapan penggulungannya lewat petang ini.

Meskipun Samy Vellu menyatakan hasrat mahu bersara pada atau sebelum 30 September tahun depan selepas hampir 32 tahun memimpin parti itu, hari ini diminta agar sama sekali tidak tunduk kepada gesaan orang dalam MIC dan luar parti itu, termasuk beberapa pemimpin yang dipecat baru-baru ini.

Empat pemimpin yang dipecat dari MIC Mei lalu kerana mendesak Samy Vellu berhenti segera telah menggerakkan kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

Perwakilan dari Kepong, RRM Krishnan berkata, Samy Vellu perlu memeruskan kepimpinannya untuk memenuhi harapan ahli-ahli MIC.

“Hanya perwakilan mempunyai kuasa untuk memastikan presiden meletakkan jawatan, tiada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menggesa presiden parti meletakkan jawatan,” kata beliau ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC Ke-64 hari ini.

Krishnan merupakan antara beberapa perwakilan menyentuh kepimpinan Samy Vellu dengan menyokong beliau agar kekal sebagai presiden parti.

Perwakilan itu juga mahu perhimpunan agung tahunan MIC agar meminda usul menyokong kepimpinan Samy Vellu yang akan dibentangkan petang ini.

Usul itu akan dibentangkan selepas 2 petang ini.

Seperti biasa perhimpunan agung akan membentangkan usul tradisi menyokong kepimpinan Samy Vellu.

“Samy Vellu harus kekal sebagai presiden selama 100 tahun lagi, jasanya harus diingati selama 500 tahun,” kata M. Arjun dari Maran.

P. Mariyayee dari Negeri Sembilan juga mahu Samy Vellu kekal sebagai presiden dengan pihak luar tiada hak untuk memintanya berhenti.

“Samy Vellu dipilih oleh perwakilan, tiada orang yang boleh meminta Samy Vellu berhenti... selagi kami ada di sini, kami akan sokong Samy Vellu, jangan bimbang Datuk Seri,” kata Mariyayee lagi.

“Sumbangan Samy Vellu kepada MIC sangat luas, hanya beliau yang boleh menentukan bila beliau hendak berhenti... kalau beliau merasakan hendak berhenti, beliau boleh berhenti,” katanya.

Dalam ucapan dasarnnya perwakilan Gopal dari Kulim pula berkata, tiada siapa yang boleh ‘menewaskan’ Samy Vellu.

“Beliau seorang presiden yang telah dipilih secara demokratik, tiada apa dan siapa yang boleh memaksa beliau berhenti... tiada gerakan GAS (Gerakan Anti Samy Vellu) yang boleh memaksa beliau keluar,” katanya.

Uthayakumar, perwakilan dari Sepang berkata, “siapa berkata MIC tidak lagi relevan dan BN kalah dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana MIC semata-mata.”

“Peranan MIC terbukti ketika pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dan Hulu Selangor...,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Samy Vellu hanya harus berhenti daripada menerajui MIC pada 2012.

“Tiada siapa yang ada hak untuk meminta Samy Vellu berhenti... dan apabila beliau hendak berbuat demikian, beliau harus menyerahkan kepada mereka yang bertanggungjawab dan mereka yang berupaya,” katanya.

Tiada ulasan: