Jumaat, 16 Julai 2010

PERKASA tuduh MerdekaReview gunakan bahasa yang biadap

Leong Khong, Lim Hong Siang

Presiden PERKASA, Ibrahim Ali menuding jari terhadap MerdekaReview, yang dikatakannya laman internet yang menyiarkan kecaman dan bahasa-bahasa yang biadap, kurang ajar, serta tuduhan yang macam-macam.

"...kalau kita buka dalam blog, twitter ke, portal ke... Saya boleh tunjuk bukti, dalam website MerdekaReview, bukan main lagi kecaman-kecaman, bahasa-bahasa yang biadap, kurang ajar, samseng...menuduh macam-macam. Tapi kita tidak mengambil reaksi yang emosi. Kita hanya memberi reaksi kalau ada perkara-perkara yang kita anggap bertentangan dengan dasar kebangsaan negara atau perlembagaan negara," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Ibrahim Ali (gambar kiri) tidak mengulas lanjut mana-mana tulisan dalam MerdekaReview yang dituduh itu.

Sebelum ini, MerdekaReview menterjemah dan menyiarkan beberapa kenyataan media Pemuda MCA yang menyelar PERKASA, berikutan laporan Suara PERKASA yang mahu Ketua Pemuda MCA ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Negeri). Lantaran daripada itu, beberapa orang pemimpin PERKASA telah membuat laporan polis terhadap Pemuda MCA, atas tuduhan menghasut.

Ibrahim Ali turut membidas pemimpin pembangkang yang kononnya mengambil kesempatan dalam isu "PERKASA Cina", yang dicadangkan oleh Naib Presiden MCA, Donald Lim sebelum ini. Beliau melihat kenyataan pembangkang sebagai "gimik" politik untuk melaga-lagakan pimpinan dalam negara dan kerajaan berhubung dengan isu yang dibangkitkannya.

Ahli parlimen Pasir Mas ini juga mengecam media internet, termasuk Malaysian Insider dan Malaysiakini, malah akhbar Star yang dikatakan mempunyai agenda masing-masing untuk melaga-lagakan pihak-pihak tertentu. "Sebab kita tahu, siapa-siapa tuan punya di belakang website ini, yang selama ini pun sudah terlibat dengan pelbagai kontroversi," tambahnya.

PERKASA bukan penghalang 1Malaysia

Jelas, Ibrahim Ali tidak berpuas dengan tuduhan "perkauman" yang dilontarkan ke arah PERKASA, "Tidak pernah PERKASA menimbulkan sebarang isu-isu perkauman selain daripada mencanggah, atau pun memberi respon, kepada kenyataan-kenyataan pihak tertentu yang kita anggap bertentangan dengan perlembagaan negara."

Malah, Ibrahim Ali menyanggah tuduhan bahawa PERKASA adalah batu penghalang kepada konsep "1Malaysia", gagasan daripada Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

"Saya nak mengulangi bahawa konsep 1Malaysia adalah satu gagasan di bawah kerangka perlembagaan negara. Konsep 1Malaysia bukan Malaysian Malaysia. Tetapi ada pihak sekarang ini mengambil kesempatan menterjemah 1Malaysia seolah-olah Malaysian Malaysia..."

Beliau menyambung, "...iaitu apabila kita mempertahankan kepentingan Melayu dan kaum bumiputera mengikut perlembagaan, mereka mengatakan ini penghalang kepada 1Malaysia. YAB Perdana Menteri telah berkali-kali mengulangi penjelasan dan pendirian mengatakan bahawa 1Malaysia adalah satu dasar, satu konsep, satu falsafah yang tertakluk kepada kerangka perlembagaan negara, berbeza dengan Malaysian Malaysia."

"Jadi di sini, PERKASA bukan penghalang kepada 1Malaysia. Malah kita pendukung yang paling kuat tetapi berteraskan kepada kerangka perlembagaan negara yang disebut, yang dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri," tegasnya.

Mengapa PERKASA sahaja dituduh?

Ibrahim Ali juga menyenaraikan beberapa NGO yang juga dikatakannya sebagai "ethnic based", seperti Dong Jiao Zong, HINDRAF, Suqiu dan Hua Zong. "Semua ini adalah pertubuhan yang juga ethnic based policy, yang selama ini membuat berbagai-bagai tuntutan sehingga ada tuntutan mereka bercanggah dengan dasar kebangsaan negara, sama ada dalam konteks pendidikan, dasar ekonomi, apatah lagi dari segi konteks dalam perlembagaan negara. Mereka juga membuat tuntutan yang sebegitu rupa."

Beliau mempertikaikan, "Kenapa mereka ini tidak dituduh ektremis? Kenapa PERKASA satu-satunya pertubuhan yang mempertahankan kepentingan kaum bumiputera dan Melayu dituduh sebagai perkauman?"

Ahli parlimen dari Konsensus Bebas ini juga mengulas kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz bahawa "UMNO tidak menyokong PERKASA". "Betul kenyataan Nazri, kerana kita bukan alat UMNO, dan kita bukan alat kepada sesiapapun!"

Beliau menjelaskan, "Ada yang mengatakan PERKASA ini alat UMNO. Ada pula yang mengatakan UMNO tak menyokong PERKASA. Jadi pada saya tak timbul soal sokong atau pun tak sokong."

Sementara mendakwa PERKASA sekadar sebuah NGO dan bukannya parti politik, beliau dengan nada sindir berkata, "Bagaimana pun saya nak berterima kasih kepada mereka (yang menyerang PERKASA). Mereka telah memberi publisiti dengan menyerang PERKASA yang menyebabkan PERKASA sudah menjadi pertubuhan yang begitu gah...nampaknya mereka begitu takut kepada PERKASA."

"Saya pun begitu teruja, apabila mereka begitu takut dan begitu menggigil dengan PERKASA," katanya sambil ketawa.

Ibrahim Ali yang sudah dua kali ditahan di bawah ISA menyanggah tuduhan bahawa dirinya "ekstremis". Bukan seperti mereka yang mengadakan tunjuk perasaan untuk menuntut reformasi sistem pilihan raya, pemansuhan ISA, malah "ada yang gigit tangan polis", Ibrahim Ali berkata beliau tidak pernah berarak ke istana, malah menambah PERKASA sanggup disiasat Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan jikalau memerlukan.

Malah, ketika menjawab soalan media, Ibrahim Ali mendakwa bahawa hampir 50 ribu orang telah mendapat kad keahlian PERKASA, sementara terdapat lebih kurang 200 ribu borang yang belum diproses. Bahkan, barisan pemimpinan PERKASA terdiri daripada tokoh-tokoh yang profesional dan bukan calang-calang orangnya.

Bangsa Malaysia: Sekolah satu aliran

Ketika ditanya sama ada beliau menyokong konsep "bangsa Malaysia", atau masih mahu mengekalkan "bumiputera dan bukan bumiputera", Ibrahim Ali menjawab, "Kalau mereka nak perbesarkan 1Malaysia macam Malaysian Malaysia, kenapa tidak langkah yang pertama kita adakan dulu satu sekolah aliran?"

"Wujudkan sekolah satu aliran. Semua pihak sokong, baru kita cakap pasal bangsa Malaysia. Jangan nak bercakap soal bangsa Malaysia tapi pada masa yang sama mereka mempertahankan sekolah vernakular. Mereka mempertahankan dasar-dasar yang bertentangan dengan dasar kebangsaan. Pada masa yang sama, mereka nak bangsa Malaysia."

"Yang mereka buat, mereka nak suruh kita ikut. Yang kita buat, mereka tak nak ikut. Lepas tu, bila cakap soal Malaysia, bangsa Malaysia. Tetapi dasar-dasar mereka, perjuangan mereka tidak melambangkan cita-cita bangsa Malaysia," katanya.

*Leong Khong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disunting Lim Hong Siang, editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: