Jumaat, 23 Julai 2010

Perkasa: Tubuh parti baru jika idea kerjasama Umno, PAS gagal

TERKINI

SHAH ALAM – Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata sebuah parti Melayu yang baru perlu ditubuhkan sebagai pilihan terakhir jika kesemua usaha untuk menyatukan kerjasama PAS dan Umno gagal.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini berkata, parti baru ini seharusnya mengadaptasikan objektif kedua-dua PAS dan Umno.

“Saya tahu idea ini sesuatu yang provokatif, tetapi perlembagaan untuk satu parti Melayu yang baru, yang menggabungkan matlamat PAS dan Umno boleh dirangka oleh sebuah jawatankuasa pemandu,” kata Ibrahim (gambar).

Kata beliau, ia adalah mekanisme menjaga air muka, sekali gus mengelakkan persoalan sama ada PAS harus menyertai Barisan ataupun sebaliknya tidak timbul sama sekali.

“Bubarkan PAS, bubarkan Umno dan semua sertai parti baru,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perkasa di sini hari ini.

Kata beliau, satu jawatankuasa pemandu dianggotai bekas pegawai kerajaan kanan, tokoh agama dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang dihormati harus mengambil inisiatif untuk menubuhkan parti baru.

Sebagai permulaan, kata Ibrahim, jawatankausa itu seharusnya bekerja ke arah untuk membawa PAS dan Umno ke meja perundingan demi perpaduan Melayu.

“Kestabilan Malaysia bergantung pada perpaduan Melayu Islam. Tanpa kaum Melayu yang bersatu, tidak akan ada perpaduan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada Perkasa mahu memainkan peranan sebagai perantara di antara kedua-dua parti, Ibrahim berkata beliau ingin melihat individu-individu yang dihormati mengambil initiatif ini.

“Terserah kepada sesiapa sahaja memainkan peranan. Jika boleh Perkasa tidak mahu memainkan peranan aktif, tetapi sudah pasti kami mahukan perpaduan,” kata Ibrahim.

Perkasa datang dengan idea ini ketika Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu Umno dan PAS mengambil langkah membincangkan kerjasama perpaduan.

Sementara Umno mengalu-alukan usaha itu PAS menolak dengan alasan tidak mahu diperdaya komponen BN itu.

PAS mahu kekal dalam Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: