Selasa, 13 Julai 2010

Perkasa ajak Ketua Pemuda MCA berdialog jernihkan situasi


KUALA LUMPUR — Pertubuhan bukan kerajaan Perkasa masih meletakkan harapan untuk berdialog dengan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong bagi ‘menjernihkan’ suasana dengan menerangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya yang berkaitan dengan kaum Melayu dan Bumiputera.

Sayap pemuda Perkasa menunjukkan minat itu meskipun baru-baru ini membuat laporan polis terhadap Wee berhubung isu biasiswa.

Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah berkata pihaknya bersedia berdepan dengan Timbalan Menteri Pelajaran itu yang sebelum ini didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang berdiri teguh di belakang Perlembagaan Persekutuan sudah menjadi kewajiban kami untuk bangun menerangkan maksud perlembagaan kepada individu-individu yang tidak memahaminya termasuk Wee.

“Ini kerana banyak kenyataan yang dikeluarkan Wee menjurus kepada pencanggahan pendapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai seorang pemimpin beliau harus berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang bertentangan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mendakwa Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Pertembungan Ibrahim-Wee itu dilihat sebagai yang terbaru Perkasa sejak ia ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun Wee berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

Arman Azha berkata melalui sesi dialog itu beliau akan menyerahkan sendiri satu naskhah Perlembagaan Persekutuan kepada Wee.

Pemuda Perkasa pernah bercadang berbuat demikian beberapa bulan lalu tetapi menjadi kenyataan.

“Sekarang kita sedang membuat perancangan untuk mengadakan sesi dialog bersama Wee dan berharap supaya beliau menerima pelawaan untuk berdialog.

“Mungkin kita akan adakah sesi dialog ini dalam masa terdekat tapi ia bergantung kepada Wee kerana kita sudah bersedia sepenuhnya.

“Selain itu, kita juga mahu semua pemimpin supaya berpegang teguh dan menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ekoran perkara tersebut Arman Azha telah membuat laporan polis pada 5 Julai lalu terhadap Wee berhubung kenyataannya mempersoalkan isi biasiswa Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tiada ulasan: