Khamis, 1 Julai 2010

Perjanjian Air: Penangguhan penghakiman didengar esok

Hafiz Yatim & Joseph Sipalan


Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta kerajaan persekutuan memfailkan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya perjanjian air dan laporan audit diumumkan kepada awam selewat-lewatnya pada 5 Julai ini.

Rayuan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam. Manakala permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman itu akan didengar esok oleh Suruhanjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail.

Kerajaan Selangor, yang dinamakan sebagai salah satu responden, tidak mengemukakan rayuan kerana Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim menyambut baik keputusan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri Selasa lalu.

Selangor juga sebelum ini menarik balik bantahan terhadap pemohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 yang lain, supaya perjanjian konsesi 15 Disember 2004 antara kerajaan persekutuan dan Selangor serta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diumumkan kepada awam, walaupun telah dinamakan sebagai responden ketika saman itu difailkan sewaktu Selangor diperintah BN.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin mengesahkan bahawa peguam negara telah menasihatkan kementeriannya supaya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Menurutnya, mereka akan memfailkan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut.

Ang Hean Leng, yang mewakili MTUC; presidennya, Syed Shahir Syed Mohamed dan 13 orang lain, mengesahkanb bahawaa rayuan tersebut telah difailkan.

"Hanya kementerian dan kerajaan persekutuan telah memfailkan rayuan," katanya.

Syed Shahir dan 13 yang lain telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Januari 2007, untuk memaksa kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor mengumumkan perjanjian konsesi air dan laporan audit.

Ia ekoran kenaikan 15 peratus kadar tarif air yang dikenakan ke atas pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur pada November 2006, selepas perjanjian konsesi air ditandatangani dan laporan audit 2004 dikeluarkan.

Tiada ulasan: