Ahad, 18 Julai 2010

PENYAKIT DENGGI MAKIN SERIUS


SABAH DAILY

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta doktor supaya tidak menghantar pulang mereka yang disyaki dijangkiti demam denggi tetapi mereka ini perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad hospital.

Beliau berkata beliau menerima aduan bahawa terdapat mereka yang disyaki menghidap denggi telah diminta untuk pulang dahulu ke rumah, sementara menunggu hasil ujian yang dilakukan ke atas suspek.

“Saya melihat sejumlah kes di mana pesakit denggi mati di hospital selepas sehari, dua tiga hari dimasukkan ke wad. Saya mahu mereka (doktor) melihat kepada kes kematian, bagaimana mahu mengurangkan kematian.

“Selepas kita memasukkan mereka (suspek pesakit) di wad, ia mudah untuk dipantau. Selain itu, pemantauan perlu dilakukan secara kerap dan berkesan, setiap empat jam.

“Jangan hantar suspek pesakit denggi balik,” katanya kepada Bernama.

Liow berkata usaha akan dipertingkatkan untuk memerangi denggi selaras dengan sasaran kementerian untuk melaksanakan sehingga 1,000 program komunikasi untuk perubahan tingkah laku (COMBI) di seluruh negara.

COMBI diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan menggunakan pendekatan komunikasi bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit seperti penyakit TB, kusta dan filariasis di beberapa negara.

“Kita akan mendapatkan bantuan NGO (badan bukan kerajaan), menghantar pegawai untuk memantau semua COMBI agar COMBI akan menjadi berkesan,” katanya.

Selain COMBI, Kementerian Kesihatan juga turut melaksanakan rancangan lima tahun Pelan Strategik Kebangsaan untuk mengawal denggi sejak April lalu bagi tempoh masa 2009-2013.

Sasaran pelan ini ialah untuk mengurangkan jumlah kes sebanyak 10 peratus setiap tahun dan 50 peratus daripada 49,335 kes pada 2009 kepada 21,430 kes tahun ini.

“Masalah denggi adalah sangat serius kerana jumlah kes masih dianggap tinggi di mana kementerian sering menggalakkan penyertaan lebih ramai anggota masyarakat dalam program mengawal denggi,” kata Liow.

Beliau mengingatkan bahawa peperangan terhadap denggi merupakan tanggungjawab setiap orang kerana tindakan penyemburan kabus semata-mata tidak boleh mengawal denggi.

Selagi masih terdapat tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menjadi punca kepada penyakit denggi, Aedes akan terus muncul dan mendatangkan penyakit, kata beliau. -NST

Tiada ulasan: