Ahad, 18 Julai 2010

Pengguna: Jangan Naik Petrol Tanpa Rombakan Sistem Pengangkutan

TV SELANGOR

Tindakan kerajaan menaikkan harga petrol bakal memberi kesan langsung kepada seluruh rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan persendirian setiap hari.

Hal ini bertambah parah apabila kerajaan sendiri gagal memastikan rakyat Malaysia mempunyai pilihan kedua atau ketiga untuk menjimatkan kos hidup lantaran kenaikan harga bahan bakar itu.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor, Datuk Dr. Jacob George, tindakan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 5 sen untuk RON 95 yang kebanyakannya digunakan oleh kenderaan di negara ini, jelas membebankan pengguna.

" Bila kita hendak buat sesuatu, kita kena beri rakyat satu alternatif," kata Jacob.

Ujarnya, Malaysia masih berhadapan dengan masalah sistem pengangkutan yang tidak sistematik.

Justeru langkah kerajaan tidak mengurus sistem pengangkutan awam di negara ini agar ia lebih berkesan dan mesra pengguna akan hanya membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

Hal ini katanya, menyebabkan rakyat tidak punya pilihan selain berhadapan dengan kesukaran untuk ke tempat yang dituju bahkan terpaksa menampung perbelanjaan yang tinggi pula jika menaiki kenderaan persendirian.

"Saya amat dukacita. Apa yang mustahak ialah pengguna awam, dan jaringan pengangkutan awam sedia-ada yang menyusahkan masyarakat," kata Jacob.

Walaupun tidak dapat menafikan bahawa negara kita turut memiliki sistem pengakutan aliran ringan (LRT) dan sistem pengangkutan gerak cepat (MRT), namun kita ketinggalan dari sudut perancangan.

" Kita ada LRT dan MRT seperti Singapura, tetapi bezanya adalah sistem sokongan seperti feeder di sana lebih berkesan dan cekap. Sebaik sahaja mereka turun, sudah boleh dapat teksi," ujar Jacob.

"Masalah sistem sokongan dan jaringan pengangkutan awam di Malaysia masih belum diatasi dengan baik. Ini mengundang tanda-tanya apakah pegawai-pegawai perancang di sini merancang atau mengancam rakyat dengan dasar yang lemah," tambah beliau.

Tiada ulasan: