Khamis, 22 Julai 2010

Pengawal keselamatan ragut penuntut Uitm dipenjara lima tahun

BERNAMA

SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah meragut beg tangan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara pada minggu lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar memerintahkan Hairul Azuan Abdul Rahman, 33, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai lepas.

Dia didakwa meragut beg tangan Juliza Jamaluddin, 23, yang mengandungi dompet, sebuah telefon bimbit, kad pelajar dan lesen memandu serta kad pengenalan di Jalan Persiaran Raja Muda, Seksyen 3 di sini pada 8.15 pagi 15 Julai.

Menurut fakta kes, Hairul Azuan bertindak meragut beg tangan Juliza yang sedang dalam perjalanan ke kampusnya dengan menaiki motosikal.

Tertuduh yang juga menunggang motosikal melarikan diri sebelum pelajar itu bertindak mengejarnya dan melanggar motosikal tertuduh menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh dari motosikal masing-masing.

Hairul Azuan, yang cuba melarikan diri, bagaimanapun diberkas oleh dua anggota polis yang terdengar jeritan meminta tolong daripada Juliza.

Tiada ulasan: