Isnin, 5 Julai 2010

Pengawal Keselamatan Dibunuh Dengan Tangan Kanan Dipotong

BERNAMA

KAJANG: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dalam keadaan tangan kanannya dipotong di kawasan semak bersebelahan Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Batu 9, di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa, yang hanya dikenali sebagai Letchumana, dalam lingkungan umur 30an, ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan terdapat sebuah kereta jenis Proton Pesonaberhampirannya.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Shakaruddin Che Mood berkata berdasarkansiasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh oleh orang yang dikenalinya.

"Mangsa dikejar oleh suspek yang menaiki kereta itu sebelum dilanggar oleh mereka... setelah dilanggar dan jatuh daripada motosikalnya mangsa bertindak melarikan diri dengan menuruni juram ke kawasan semak itu.

"Kereta yang dinaiki suspek terus mengejar mangsa dengan melalui jalan ke kawasan semak itu dan seterusnya bertindak melanggar mangsa sekali lagi sebelummemotong tangan mangsa," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata, bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan keretanya di tempat kejadian.

"Kita percaya suspek melakukan kegiatan ini lebih dari seorang dan dalam kereta itu polis menjumpai sebilah parang yang hanya disimpan atau digunakan untuk memotong tangan mangsa," katanya.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan punca pembunuhan bermotifkan dendam dan kes itu akan di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lelaki berumur lingkungan 30an ditemui mati dengan keadaan tangan, kaki dan mulutnya diikat di dalam sebuah rumah pangsa di Desa Serdang di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Mohd Shakaruddin berkata, polis menerima maklumat daripada jiran mangsa yang mendapati terdapat bau busuk dari rumah itu.

"Tiba di rumah mangsa kita dapati rumah yang didiaminya dikunci dari dalam...kita terpaksa pecahkan pintu itu dan melihat keadaan tangan, kaki dan mulut mangsa diikat," katanya.

Katanya, melihat daripada keadaan mayat, mangsa dipercayai telah mati lebih dari tiga hari.

"Mangsa yang menyewa rumah itu dipercayai tinggal seorang diri...identiti mangsa dan punca kematian masih belum dikenal pasti," katanya.

Tiada ulasan: