Rabu, 28 Julai 2010

Pengasas ESQ sedia bermuzakarah dengan mufti WP

BERITA HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR: Pengasas program latihan ESQ, Dr Ary Ginanjar Agustian bersedia mengadakan pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan bagi menjelaskan secara terperinci kekeliruan yang dibangkitkan sebelum ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya menunggu jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, bagi bermuzakarah dan menjelaskan 10 dakwaan yang dibangkitkan.

"Setakat ini belum ada muzakarah dan mungkin itu yang menyebabkan timbul kekeliruan.
"Saya berharap dan gembira jika dapat bertemu dengan Mufti Wilayah Persekutuan," katanya pada sidang media sempena Seminar ESQ di sini, hari ini.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebelum ini mengeluarkan fatwa mengharamkan program motivasi yang dianjurkan ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) kerana ia berbeza dengan 13 negeri lagi yang membenarkan program berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Panel Shariah Latihan ESQ, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata ESQ sudah menghantar surat bermuzakarah kepada Wan Zahidi dan JAKIM.

Bagaimanapun, katanya mufti terbabit masih belum memberikan jawapan sehingga kini.
Surat itu sudah dihantar sejak 2009 dan disusuli beberapa surat pertemuan lain yang tidak mendapat maklum balas.

Tiada ulasan: