Ahad, 4 Julai 2010

Pemimpin Umno digesa henti menghasut

BERNAMA



Pemimpin Umno harus menghentikan budaya menghasut untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin kerana keadaan itu boleh menjejaskan parti dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata sikap segelintir pemimpin yang terlalu ghairah untuk menjadi calon pilihan raya sehingga sanggup melakukan apa saja termasuk memperlekehkan rakan di dalam parti juga boleh menyebabkan perpecahan.

"Saya bimbang sekiranya budaya kurang sihat terus belaku ia akan memberi laluan mudah kepada pembangkang untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan hari ini.

Beliau berkata anggota akar umbi tidak mempunyai apa-apa kepentingan namun mudah terpedaya sekiranya dihasut oleh pemimpin yang mempunyai agenda politik sendiri dan seterusnya menimbulkan budaya berpuak-puak.

Mohamed Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kekalahan BN pada pilihan raya umum lepas berlaku akibat perbuatan orang di dalam parti sendiri dan bukan kerana kekuatan pembangkang.

Justeru katanya, rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila tidak menyokong BN kerana ianya berpunca daripada sikap pemimpin sendiri yang tidak bertanggungjawab.

"Sepatutnya pemimpin menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat untuk meraih sokongan secara sihat dan telus. Dengan mempunyai kekuatan dalam parti ia akan memberi laluan mudah kepada BN untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.


Tiada ulasan: