Sabtu, 24 Julai 2010

Pemimpin, Kroni Umno-BN Serang Pakatan Rakyat Selangor Bila Gagal Terus Rompak Harta Negeri

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata ketelusan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor telah menyebabkan barisan pimpinan Umno dan kroni mereka bagai cacing kepanasan yang kini telah hilang sumber kekayaan yang diperolehi hasil daripada merompak hasil mahsul negeri sejak lebih 50 tahun.

Akibatnya kini wujud dua kem politik dalam Umno Selangor di antara bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Ummo Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang berlumba-lumba menggunakan isu pasir dan air sebagai senjata politik untuk muncul sebagai jaguh.

Sambil mempersoalkan motif sebenar Umno-Barisan Nasional di Selangor menimbulkan isu tersebut apabila iannya tidak langsung menjadi masalah di Selangor, Tony berkata Umno sepatutnya melihat gejala kecurian pasir yang berlaku dalam skala besar di Johor.

"Jelas sekali ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Selangor mengakibatkan poket kroni Umno-BN semakin kering kerana mereka tidak dapat mengaut keuntungan secara haram seperti yang diberi oleh Barisan Nasional kepada kroninya pada masa lalu.,

"Yang menghairankan ialah kenapa tiada seorangpun pemimpin Umno yang berani mengkritik pengurusan kerajaan Umno-BN Johor pimpinan Datuk Abdul Ghani Othman di mana kes perlombongan pasir haram adalah yang paling teruk pernah dilaporkan, walaupun selepas isu ini telah dihebohkan oleh pihak media tidak lama dahulu," kata Tony dalam kenyataan beliau semalam.

Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd kini menguruskan pemberian permit perlombongan pasir di Selangor, di mana setiap operator lombong pasir mendapatkan permit melalui tender terbuka atau permintaan sebut harga kerana rundingan terus tidak lagi dilayan.

Justeru itu, operator ala 'Ali Baba' yang mendapatkan permit melalui cara melobi dan melantik kontraktor lain untuk menjalankan aktiviti perlombongan agar mendapat keuntungan besar dan cepat tidak dapat lagi dilakukan kerana dalam tender terbuka, kroni Umno-BN kotor ini jelas gagal kepada operator perlombongan yang jujur dan telus.

"Sistem KSSB yang telus ini telah menyebabkan ramai operator yang gagal untuk mencemuh pengurusan KSSB yang jelas telus dan memberikan peluang persaingan yang setara kepada semua.

"Jika dibandingkan dengan pengurusan Umno-BN dahulu, KSSB telah berjaya mengutip RM8.17 juta untuk sembilan bulan pertama dibandingkan dengan RM4.39 juta untuk keseluruhan tahun 2007 dibawah Umno-BN, peningkatan sebanyak 86.1 peratus. Untuk keseluruhan 2009, KSSB berjaya mengutip RM13.76 juta, peningkatan sebanyak 213 peratus.

"Dalam separuh tahun pertama 2010, KSSB mencatat kutipan RM15.3 juta, selaras dengan sasaran 500 peratus peningkatan untuk tahun 2010. Jumlah ini membuktikan betapa efisyen, telus dan cekap pengurusan KSSB.

"Rakyat juga perlu tahu, semua keuntungan ini digunakan oleh kerajaan Pakatan Selangor untuk membiayai skim kebajikan untuk rakyat," jelas Tony lagi.

Menyentuh mengenai isu air, Tony berkata keazaman Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengekalkan tarif air dan memperbaiki kualiti perkhidmatan bekalan air menyebabkan percanggahan dengan Syarikat Bekalan Air Bhd, sebuah anak syarikat kroni Umno, Puncak Niaga Holdings Bhd.

Malah Timbalan Perdana Menteri mencemuh pengurusan air di Selangor tetapi lupa negeri yang pernah ditadbirnya selaku Menteri Besar satu ketika dahulu mempunyai tarif air paling tinggi di negara ini

Tambah Tony lagi, Abdul Khalid bertegas tidak berganjak daripada keputusannya untuk membantu rakyat jelas walaupun berdepan dengan taktik kotor dan jijik yang digunakan oleh kroni Umno-BN, Puncak Niaga dan disokong pula oleh Kerajaan Pusat.

"Puncak Niaga mahu membebankan rakyat Selangor dengan meningkatkan tarif air 37 peratus lagi, dan sehingga kini tidak mahu menerima cadangan kerajaan negeri Selangor untuk memperbadankan industri air Selangor yang mana bukan hanya dapat mengurangkan lagi tarif semasa, tetapi juga dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.

"Sebaliknya, mereka bertindak mengutuk usaha kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu yang bertujuan membantu warga yang miskin dan tidak berkeupayaan membayar bil yang tinggi.

"Muhyiddin patut memberitahu kroninya supaya jangan harapkan wang mudah masuk poket seperti dahulu dan buang sikap 'mentaliti subsidi' mengharapkan kerajaan Umno-BN melontarkan habuan. Kalau mereka mahu rakyat menerima potongan subsidi yang tidak munasabah, maka sudah pasti kroni Umno-BN yang telah mendapat habuan besar sebelum ini boleh mula belajar mencari wang halal," tegas Tony lagi.

Tiada ulasan: