Jumaat, 9 Julai 2010

Pemilik senapang patah diberi tempoh sehingga 15 Julai baharui lesen

KENINGAU: Polis Keningau memberi tempoh sehingga 15 Julai ini kepada pemilik senapang patah untuk membaharui lesen mereka.“Jika tidak, lesen mereka tidak akan dibaharui sehingga bila-bila,” tegas Ketua Polis Keningau, DSP Zahari Mohamad.

Ketua polis itu menekankan, proses pengemaskinian lesen senapang patah di daerah ini tidak dapat dilakukan, berikutan sikap dingin pemilik untuk membaharui lesen mereka.

“Saya memandang serius mengenai masalah ini,” katanya dan menambah, polis tidak mendapat maklum balas kenapa mereka bertindak begitu, walaupun beberapa peringatan telah diberikan.

Beliau meminta kerjasama daripada pihak berkuasa kampung, khususnnya Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung (KK) agar menasihatkan orang bawahan mereka yang berkenaan, supaya membaharui lesen senapang patah sebelum tempoh yang diberikan berakhir.

“Polis tidak akan memberi layanan terhadap pembaharuan lesen senapang patah selepas 15 Julai ini,” katanya.

Pembaharuan lesen senapang patah boleh dilakukan setiap hari pada waktu pejabat, sebelum 15 Julai ini di Balai Polis Daerah Keningau.

Tiada ulasan: