Rabu, 14 Julai 2010

Pelatih mati: Kontraktor dilepaskan ada unsur kroni?

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Pelepasan syarikat kontraktor persendirian, Tuntas Consultancy Sdn. Bhd. daripada dikenakan tindakan undang-undang berhubung kematian seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) sewaktu menjalani latihan diploma perkhidmatan awam 31 Mei lalu, dicurigai mempunyai unsur kronisme.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) pada sidang media di lobi Parlimen hari ini mendedahkan, Tuntas Consultancy dimiliki oleh dua orang anak bekas ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kuala Langat dan juga bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Salleh menerusi pegangan saham.

"Adakah kaitan sebegini memungkinkan syarikat tersebut terlepas daripada penghakiman serta tindakan oleh pihak kerajaan?" soalnya.

Allahyarhamah Norhashimah, 30, yang berkhidmat di Kementerian Kewangan meninggal sewaktu menjalani latihan intensif kursus pengesahan jawatan PTD berperingkat selama tujuh bulan.

Beliau dipercayai meninggal akibat sesak nafas disebabkan oleh jangkitan paru-paru berair.

Nurul Izzah turut menegaskan, kerajaan wajar menjelaskan kepada umum sama ada kontrak memang diberikan kepada syarikat berkenaan dan rasional pemberian kontrak tersebut.

Soalnya, jika Tuntas Consultancy terlibat dalam pengendalian latihan itu, kenapa ia tidak dikenakan tindakan sebaliknya pegawai kerajaan yang dikambinghitamkan.

"Jika Tuntas Consultancy yang menyediakan latihan yang melibatkan Allahyarhamah Norhashimah, kenapakah tidak ada tindakan kerajaan yang diambil terhadap pihak yang berwajib, termasuk pelatih-pelatih syarikat tersebut? Kenapa hanya pegawai kerajaan yang dikambing hitamkan?" katanya.

Beliau turut menyatakan kekesalan di atas tindakan kerajaan BN memotong belanjawan dalam sektor-sektor tertentu yang juga melibatkan program outward bound school (OBS).

"Baru-baru ini sejak kerajaan BN melaksanakan potongan belanjawan dalam sektor-sektor tertentu, program OBS juga menjadi korban dan digantikan dengan latihan oleh kontraktor pelatih persendirian," katanya.

Turut digesa beliau, agar kerajaan mengemukakan laporan siasatan dalam jabatan perkhidmatan awam berkenaan tragedi tersebut kepada umum kerana perkara ini menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan rakyat.

Keengganan kerajaan berbuat demikian tegasnya, akan mengeruhkan keadaan dan kedudukan yang menimpa keluarga mangsa.

Nurul Izzah petang semalam membangkitkan perkara ini dalam ucapan penangguhan di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: