Rabu, 7 Julai 2010

Peguam: PI Bala kena jawab 52 soalan SPRM dalam afidavit


KUALA LUMPUR – Detektif persendirian P. Balasubramaniam perlu menjawab 52 soalan kesemuanya yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui peguamnya berhubung kes pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.

Difahamkan soalan-soalan itu berkaitan dengan elemen rasuah berhubung kes itu.

“Kesemuanya ada sebanyak 52 soalan dengan beberapa soalan sampingan,” kata Americk Sidhu ketika dihubungi The Malaysian Insider melalui emel hari ini.

Americk menerima soalan daripada SPRM menerusi kurier di hotel penginapannya di London, semalam (waktu tempatan).

Balasubramaniam awalnya mahu mengadakan pertemuan bersemuka dengan pegawai-pegawai kanan SPRM di London, tetapi rancangan itu dibatalkan oleh suruhanjaya itu minggu lalu.

Americk berkata, Balasubramaniam akan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan menerusi afidavit.

“Jawapan-jawapan perlu dijawab dalam bentuk afidavit,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila jawapan kepada soalan-soalan itu akan diserahkan semula kepada SPRM.

“Jawapan-jawapan sedang disediakan,” jawan Americk.

Ketika ditanya sama ada Balasubramaniam sudin memilih cara alternatif yang diinginkan SPRM, Americk berkata:

“Ya... (tapi) apa pilihan lain yang ada buat Bala?”

SPRM telah menghantar senarai soalan kepada Balasubramaniam, Jumaat lalu.

Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata soalan-soalan itu telah dikirim oleh SPRM melalui kurier kepada Americk.

Katanya Americk telah bersetuju untuk memberi jawapan kepada SPRM secepat mungkin.

Rabu lalu, SPRM memutuskan tidak akan menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan daripada berhubung kes pembunuhan wanita itu.

Sebaliknya kata SPRM, Balasubramaniam akan diminta menjawab soalan yang akan dikemuka menerusi peguamnya dalam bentuk akuan bersumpah atau afidavit.

Tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

Tiada ulasan: