Rabu, 21 Julai 2010

PAS yakin kejadian 20 pelajar mengandung, benar

BULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU
– PAS Terengganu yakin kejadian 20 pelajar sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu mengandung adalah benar-benar berlaku.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato’ Abu Bakar Chik berkata, beliau telah meminta Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Terengganu menyiasat perkara tersebut.

”Dia memberi maklumat dan mengesahkan ia benar-benar berlaku, 20 pelajar dalam sebuah sekolah mengandung, 4 telah melahirkan anak,”katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru, Ma’ahad tahfiz Wal Tarbiyah dekat sini, Selasa 20 Julai.

Oleh itu beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu meminta pihak kabinet dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil perhatian dan menyelesaikan masalah sosial yang semakin parah dikalangan para pelajar.

”Saya tidak menafikan soal pemansuhan UPSR, PMR penting, tapi kita mahu melihat keprihantinan kabinet, dan Menteri (berkenaan),”ujarnya.

Sehubungan itu, PAS telah menyiapkan satu mekanisme bagi menangani gejala sosial dikalangan Pelajar. Ustaz Abu Bakar berkata, Lajnah pendidikan melalui Sukarelawan Pendididikan Rakyat (Kawan).

"Dalam parti PAS ada skuad Kawan, bagi menangani gejala sosial dengan masyarakat khidmat dan runding cara,"jelasnya.

Menurutnya, Kawan bukan hanya dianggotai oleh golongan muda yang turun padang tetapi golongan veteran seperti bekas-bekas pensyarah, bekas-bekas guru besar, peguam dan profesional lain.

Ketika ditanya berkenaan pendedahan pihak polis tentang 191 pelajar sekolah terlibat dengan pelbagai kesalahan narkotik, beliau mengatakan angka tersebut adalah terlalu kecil.

”Saya tidak percaya kepada angka itu, kerana setiap hari, dimana-mana sahaja boleh didapati pelajar terlibat dengan dadah,

”kalau mahu dicegah, tiap-tidap hari boleh tangkap,”katanya lanjut.

Tiada ulasan: