Sabtu, 17 Julai 2010

Pas tidak khianati PR




SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Pas tidak akan mengkhianati persefahaman yang dipersetujui bersama dengan komponen Pakatan Rakyat (PR) biarpun berlaku perbincangan politik dengan UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu sentiasa setia dan tidak akan sekali-kali mengkhianati persefahaman yang dipersetujui.

“Pas mesti bersama Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang... Pas dalam 'trek rekodnya' tak pernah khianati kawan.

“Walaupun kerjasama dalam pakatan bukan melibatkan undang-undang sebaliknya hanya berdasarkan kepercayaan... Pas tak akan khianat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut, semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti demi kepentingan Islam dan orang Melayu, Mustafa berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat demi kepentingan masyarakat dan umat Islam.

“Kalau tak ada kaitan dengan politik, Pas memang tak ada masalah nak adakan perbincangan dengan UMNO.

“Termasuk kerjasama kerajaan dengan kerajaan, kita tak ada masalah termasuk isu-isu yang ada kepentingan masyarakat seperti pasir, ataupun ekonomi pun boleh bincang," katanya.

Menurutnya, beliau yakin Menteri Besar Kelantan itu tidak bermaksud menyentuh mengenai kerjasama politik dalam pertemuan berkenaan.

“Tak salah beliau nak bertemu dengan pemimpin Pusat untuk bincang banyak perkara, itu sangat perlu kerana antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat memang ada banyak isu-isu tertunggak.

“Saya tak fikir bahawa pertemuan ini akan sentuh soal kerjasama politik sebab Pas sudah putuskan bahawa kita akan bersama Pakatan Rakyat... Tok Guru sendiri sudah arif tentang perkara ini," katanya.

Tiada ulasan: