Isnin, 5 Julai 2010

PAS ‘selamat’ walaupun saingan pemilihan 2011 mungkin sengit


KUALA LUMPUR— Pemimpin tertinggi PAS yakin kedudukan komponen Pakatan Rakyat itu tidak akan terjejas walaupun ada yang beranggapan pemilihan tahun depan mungkin sengit sambil menyifatkan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam hanya “pandangan peribadi” bimbang dengan kemungkinan itu.

Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar berkata, apa yang disuarakan oleh Mursyidul Am PAS itu adalah tanggapan peribadinya yang bimbang sekiranya berlaku perpecahan dalam parti.

“Itu hanya tanggapan peribadi beliau (Nik Aziz). Sebenarnya tidak berlaku pergeseran dalam parti jika pun ada, ia hanya sementara sahaja.

“Mungkin beliau bimbang sekiranya berlaku perpecahan dalam parti kerana masing-masing mahu merebut jawatan ketika pemilihan parti nanti,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang tahun lalu memenangi jawatan naib presiden.

Pemilihan PAS diadakan dua tahun sekali.

Bekas Ketua Dewan Pemuda itu berkata walaupun Nik Aziz menyarankan agar tidak mengadakan pemilihan tetapi beliau tidak melarang daripada terus dijalankan.

“Beliau tidak larang untuk adakan pemilihan parti tapi setiap calon perlu bertanding dalam akhlak yang tinggi.

“Sebenarnya melalui pemilihan parti setiap calon yang bertanding dapat menunjukkan kesungguhan, kebolehan, prestasi dan komitmen yang tinggi bagi dipilih oleh perwakilan. “Selain itu, mereka juga boleh menunjukkan sumbangan yang besar kepada parti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider mengulas kenyataan Nik Aziz yang mengakui wujudnya perpecahan dalam parti itu bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pemilihan tahun depan.

Kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti malahan di peringkat sayap parti iaitu Dewan Muslimat, Ulama dan Pemuda.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pemilihan untuk kepimpinan perlu diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu semasa muktamad 2011.

Bagaimanapun, Nik Aziz berkata jika pemilihan atau pertandingan tidak dapat dielakkan pada muktamar akan datang, beliau menyarankan pemilihan itu diadakan secara teratur dan mengikut disiplin parti.

Pada pemilihan tahun lalu Datuk Seri Abdul Hadi Awan menang tanpa bertanding manakala pemilihan kerusi timbalan menyaksikan saingan tiga penjuru.

Tiga kerusi naib presiden dimenangi oleh muka baru. Selain Mahfuz dua yang lain ialah Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Difahamkan pemilihan pucuk kepimpinan pusat PAS nasional dijangka memperlihatkan saingan sengit melibatkan semua peringkat berbanding masa lalu.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib pula berpendat beliau tidak nampak perpecahan akan berlaku walaupun wujud persaingan jawatan tertinggi parti.

“Saya sebenarnya tidak nampak berlakunya perpecahan dalam merebut jawatan tertinggi dalam parti. Jadi apa yang dinyatakan Nik Aziz adalah pandangan peribadi sahaja.

“Selama ini pun pemilihan yang diadakan berjalan dalam keadaan lancar tanpa berlakunya pergeseran antara pemimpin parti,” katanya.

Beliau berkata individu yang bertanding dalam pemilihan parti bukan menawarkan diri sendiri tetapi dicalonkan oleh kawasan.

“Jadi setiap calon bertanding perlu membuktikan bahawa mereka layak untuk menyandang jawatan tersebut.

“Lagipun mereka bertanding bukan untuk diri sendiri tapi untuk parti.

“Mereka juga bukan mahu merebut jawatan tetapi mahu buat kebajikan, sebab itu mereka berlumba-lumba untuk menunjukkan prestasi terbaik,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda Nasrudin Hassan Tantawi berkata sistem pemilihan yang diadakan parti sudah cukup bagus kerana pemimpin atau calon bertanding dapat menunjukkan prestasi terbaik masing-masing.

“Apa yang dinyatakan Nik Aziz adalah pandangannya sahaja kerana bagi saya sistem pemilihan yang diadakan sekarang sudah cukup bagus, selain memberi peluang kepada calon bertanding untuk menunjukkan prestasi terbaik.

“Selain itu saya juga tidak nampak berlakunya perpecahan dalam parti akibat daripada pemilihan ini. Namun begitu pandangan tersebut akan diambil kira kerana idea tersebut boleh diguna pakai sekiranya perlu,” katanya.

Nasrudin bagaimanapun setuju untuk diadakan pemilihan dalam kepimpinan secara perbincangan sekiranya berlaku “politik kotor” ketika pemilihan tersebut.

“Sekiranya wujud cantas-mencantas antara calon dan politik kotor cadangan pemilihan kepimpinan melalui perbincangan boleh dilaksanakan.

“Walaupun setakat ini tidak berlaku tetapi kita perlu bersiap sedia kerana kebimbangan untuk ia berlaku tetap ada,” katanya.

Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh juga melihat pendirian Nik Aziz semalam sebagai pandangan peribadi beliau.

“Tidak timbul soal perpecahan dalam parti... jadi apa yang dikatakan itu mungkin hanya pandangan peribadi sahaja.

“Walau bagaimanapun segala keputusan perlu dibawa ke mesyuarat tertinggi parti, jadi adalah lebih baik supaya perkara ini tidak dipanjangkan,” katanya.

Pandangan mereka juga seiring dengan pendapat penasihat undang-undang Hanipa Maidin yang berpendapat bahawa “saya tidak nampak pemilihan akan membawa perpecahan.”

“Ini bukan kali pertama PAS mengadakan pemilihan, bukan kali pertama mengadakan pemilihan... pemilihan berjalan dengan baik,” kata beliau sambil menambah, PAS berbeza dengan parti-parti lain khususnya Umno.

“Kami di PAS bukan merebut jawatan, hendak berlumba-lumba mahukan jawatan macam dalam Umno. Kalau ada pertandingan pun ia mengikut perlembagaan parti... kalau ada pandangan ia OK, tetapi bukan sesuatu yang buruk,” kata beliau, yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, yang berpandangan bahawa apa jua perbezaan pendapat yang wujud di kalangan calon bertanding hanya bersifat sementara.

Tiada ulasan: