Isnin, 12 Julai 2010

PAS jadi orang tengah di Pokok Asam

Mohd Sabri Said


JELUTONG: PAS telah menjadi orang tengah antara pemaju, kerajaan negeri serta penduduk Kampung Pokok Asam, di sini apabila berjaya mendesak pihak pemaju menghentikan sementara kerja-kerja perobohan rumah penduduk selama tiga bulan untuk memberikan ruang perundingan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, PAS sangat prihatin dan yakin masalah yang tiba-tiba menjadi panas hasil mainan Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh diselesaikan jika pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk badan bukan kerajaan (NGO) duduk diam.

Ini kerana, katanya mereka bukan boleh menyelesaikan sebaliknya menyerahkan kepada PAS yang akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Konuniti (JKKK), kariah Masjid Jamek Jelutong serta Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Bila kita berjaya mendesak pemaju menghentikan sementara projek selama tiga bulan itu menandakan satu kejayaan yang tidak pernah berlaku walaupun oleh Umno semasa berkuasa dulu," jelasnya ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang gembira dengan perkembangan berkenaan berkata, jika hendak mengharapkan Umno, keadaan bertambah berserabut ekoran parti itu sendiri berada dalam keadaan cemas di mana 13 cawangan di bahagian ini sudah ‘angkat bungkus’.

“Di mana lagi peranan Umno ketika ini melainkan mewujudkan provokasi menuduh PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli MPPP sanggup menjadi pengkhianat menghalau penduduk Melayu dari bandar terutamanya isu Kampung Pokok Asam (gambar),” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap penduduk kampung berkenaan jangan tertipu dengan taktik Umno.

“Berilah sokongan pada PAS, kariah dan Ahli MPPP untuk mencari titik pertemuan bagaimana untuk membantu penduduk sekiranya pemaju menggunakan haknya ekoran tanah tersebut milik swasta.

“Umno sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Mujahid juga meminta pihak pemaju menyediakan tempat kepada penduduk yang terlibat bagi menghindarkan tanggapan kononnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat bertindak menghalau orang Melayu dari mendiami kawasan bandar.

Beliau sedar itulah yang sedang rancak dicanang oleh Umno di negeri ini kononnya PAS, PKR dan Ahli Majlis MPPP sedang berusaha turun ke kampung-kampung mendesak penduduk menjual tanah kepada pemaju.

"PAS bukan pengkhianat sanggup menggadai maruah seumpama itu. Lainlah Umno, tindakan begitu dianggap kebiasaan semasa kuasa berada di tangan mereka," tegasnya.

Tiada ulasan: