Ahad, 25 Julai 2010

Pandu Kereta Dari Simanggang Ke Bandar Sibu, Buat Laporan SPRM Terhadap KM Sarawak


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Seorang rakyat Sarawak dan pembayar cukai memandu keretanya dari Simanggang sehingga bandar Sibu untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud berhubung dakwaan pelaburan di luar negara yang membabitkan berbilion ringgit.

Cobbold John Lusoi berkata beliau tidak ada pilihan lain dan atas rasa bertanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia terpaksa menuju ke ke Sibu disebabkan SPRM tidak mempunyai pejabat di Simanggang.

"Saya rasa menjadi tanggungjawab sebagai rakyat yang prihatin dan pembayar cukai untuk membuat laporan kepada SPRM terhadap Ketua Menteri.

Saya memandu dari Simanggang pagi semalam disebabkan di Simanggang tidak ada pejabat SPRM," ujar beliau.

Laporan Lusoi adalah laporan keempat selepas beberapa siri laporan yang difailkan di SPRM terhadap Taib. Kandungan laporan berkenaan turut mendakwa Taib telah melakukan salahguna kuasa.

Laporan yang hampir sama telah difailkan pada 7 Julai lalu kepada pegawai SPRM di Wisma Persekutuan, Miri oleh dua orang ahli parti KEADILAN manakala sebelum itu, satu lagi telah difailkan di pejabat SPRM, Putrajaya.

Kesemua laporan SPRM terhadap Taib adalah berpandukan beberapa artikel di dalam portal berita, The Sarawak Report yang mendakwa Taib dan anggota keluarganya memiliki empayar perniagaan di luar negara yang bernilai berbilion ringgit.

Disamping itu The Sarawak report juga turut melaporkan bahawa anak perempuannya, Jamilah mengetuai konglomerat perniagaan di Kanada, England dan Australia.

Dalam pada itu, Parti pimpinan Taib iaitu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) dalam reaksi mereka terhadap berota yang dilaporkan The Sarawak Report menafikan dakwaan berkenaan dan menganggap laporan tersebut adalah pembohongan semata-mata.

Menurut jurucakap parti tersebut, mereka telah menubuhkan sebuah unit untuk memantau semua laporan yang dilaporkan di dalam blog dan laman web.

Dalam perkembangan berkaitan, pejabat Ketua Menteri juga dilaporkan telah mengarahkan supaya semua media tempatan dilarang menyiarkan perkembangan laporan berhubung isu tersebut.

Sementara itu, Lusoi, yang juga Pengerusi KEADILAN Cabang Simanggang berkata banyak lagi laporan SPRM yang sama akan difailkan di seluruh negara termasuk di Bintulu dan Limbang.

"Kita akan terus memfailkan laporan sehinggalah pegawai SPRM membuat penyiasatan berhubung perkara ini. Jumlah aset hartanah yang besar yang didakwa dimiliki Taib dan ahli keluarganya menjadi tumpuan utama dan kebimbangan kepada semua rakyat.

Semua orang, sama ada mereka ini rakyat Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia sedang bercakap mengenai tuduhan di mana sumber kekayaan itu dipercayai diperolehi secara haram...jadi, tidak ada sebab kenapa SPRM harus berdiam diri," tambah Lusoi.

Tiada ulasan: