Jumaat, 16 Julai 2010

Pakatan gesa kurangkan subsidi IPP, bukan bebani rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER


Anwar: Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.
KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan langkah pelarasan subsidi diumumkan semalam, yang mengakibatkan empat produk keperluan asas mengalami kenaikan harga dengan menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP).

Dua komponen PR iaitu PKR dan PAS berpendapat kerajaan wajar mengumumkan potongan subsidi kepada syarikat besar, antaranya IPP berbanding mengurangkan subsidi bagi pengguna biasa yang merupakan ramai jumlahnya.

Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat.

Selain itu kata beliau, kerajaan perlu menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat.

“(Kerajaan juga perlu) mengawal selia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbilion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, kerajaan perlu membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

“Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

“Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni,” kata beliau lagi.

Kata Anwar, walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun lalu dan berakhir semalam, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan.

“Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Datuk Seri Najib sedar ahli Parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

“Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kerajaan persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

“Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

“Kenaikan harga gula sebanyak 28 peratus sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari lalu). diikuti kenaikan 20 sen berikutnya semalam) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan,” kata beliau.

Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini, menurut bekas menteri kewangan ini, akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75 peratus adalah Bumiputera yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional, katanya.

“Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 bilion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 bilion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri,” katanya.

Malah, kata Anwar, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Oleh itu katanya, langkah membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera.

“Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta,” katanya.

Pun begitu, Anwar tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75 peratus di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

“Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

“Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

“Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya juga merasakan kerajaan perlu segera mengambil langkah mengurangkan subsidi kepada syarikat-syarikat besar termasuk IPP.

“Fokus yang boleh diberi perhatian ialah mengurangkan subsidi yang disalurkan kepada IPP, kerajaan perlu melihat pada subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat besar,” kata beliau ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau menolak idea agar diadakan demonstrasi membantah pengurangan subsidi dan menaikkan harga yang diumumkan semalam.

“Kita ada banyak lagi isu-isu besar yang perlu ditangani seperti demokrasi politik,” katanya lagi.

Tiada ulasan: