Jumaat, 23 Julai 2010

Obor Keadilan dakwa Najib 'perah' Petronas

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Edisi kedua Suara Keadilan diterbitkan dengan versi "Obor Keadilan" kini boleh didapati di pasaran sejak Selasa lalu selepas edisi pertama "Keadilan" yang diterbit awal minggu lalu.

Edisi terbaru kali ini adalah yang kedua diterbitkan secara tidak berkala selepas permit akhbar PKR itu berakhir 7 Julai lalu dan belum diperbaharui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Muka depan edisi terbaru ini meletakkan tajuk "Selain Felda...BN Perah Petronas" dengan bilangan keseluruhan 24 muka surat dan dicetak sebanyak 30 ribu unit.

Edisi ini difahamkan mendedahkan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa memaksa Petronas membayar RM30 bilion setiap tahun untuk perbelanjaan negara walaupun keuntungan syarikat gergasi itu mengalami penyusutan ketara.

Di Muka Belakang pula, edisi Obor Keadilan ini meletakkan tajuk "Badut Umno tuduh Anwar Alat CIA" difahamkan merujuk kepada laporan akhbar Utusan berhubung perkara itu baru-baru ini.

Utusan sebelum ini mendakwa kononnya Anwar sanggup membayar stesen televisyen CNN untuk menemuramah beliau.

Bagaimanapun, edisi kali ini bukan lagi 'edaran percuma' seperti edisi pertama Keadilan yang juga edisi pengenalan awal minggu lalu.

Ianya diterbitkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Suara Keadilan mula bermasalah apabila akhbar itu menyiarkan berita menghentam Felda bertajuk "Felda Bankrap" pada keluaran bertarikh 22-29 Jun lalu sehingga disaman pihak Felda.

Selain Felda, pihak KDN juga terus memberi tekanan kepada pihak penerbitan Suara Keadilan apabila tidak memperbaharui permit pernerbitan akhbar tersebut.

KDN juga sebelum ini telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap parti dan pemimpinnya sekiranya PKR berkeras untuk menerbitkan lidah rasmi yang telah digantung itu.

Selain itu KDN juga turut membuat laporan polis ke atas penerbit akhbar tersebut kerana menerbitkan 'dokumen rahsia'.

Ahad lalu, Dzulkarnain diarahakan ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Pihak KDN bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Tiada ulasan: