Khamis, 22 Julai 2010

Noh Omar: Bukan kerana pasir...

Salhan K Ahmad

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar berkata dakwaan berlakunya persaingan di antara beliau dengan Datuk Seri Khir Toyo dalam mengetengahkan isu pasir, sengaja ditimbulkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang tidak berupaya menjelaskan masalah berkenaan.

Sekaligus, beliau menafikan wujudnya konflik di antara beliau dan bekas menteri besar itu dalam membongkar isu kecurian pasir.

"Ini pembangkang, bila dia tidak boleh jawab persoalan, dia cipta masalah pula. Dia nak alihkan masalah ini, menuduh kita pulak berbalah dalam Umno. Ini strategi pembangkang dari dulu sampai sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan berlakunya persaingan di kalangan pemimpin Umno Selangor dalam mengutarakan isu pasir, terutama di antara kem penyokongnya dan Khir Toyo.

Seorang ADUN PKR Shuhaimi Shafiei (Sri Muda) menimbulkan dakwaan bahawa Noh cuba menjuarai isu pasir itu dengan melawat beberapa tempat di negeri itu dengan tujuan memalukan 'pesaingnya' Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Shuhaimi mendakwa, tindakan Noh itu ekoran keadaan "berlengan populariti" antara kedua-dua tokoh Umno negeri itu bagi membuktikan siapa lebih berpengaruh bagi menerajui parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Noh menegaskan, soal persaingan antara beliau dan Khir Toyo tidak timbul kerana tindakan berbeza sedemikian sememangnya merupakan satu strategi yang dirancang mereka berdua.

Katanya lagi, Khir yang juga ketua pembangkang di DUN Selangor pula memfokuskan kepada akvitivit penerangan mengenai isu berkenaan di peringkat akar umbi.

"Dulu kalau kita bangkitkan isu, pembangkang kadang-kadang seorang saja bercakap. Tetapi sekarang kita dah susun, di mana Dr Khir Toyo dia bercakap kepada akar umbi.

"Dia pergi tengok lokasi dan sebagainya untuk dedahkan betapa kerajaan Selangor, baru dua tahun memerintah, sudah begitu rakus keluarkan pasir. Itu tugas dia sebagai ketua pembangkang (untuk) bangkitkan di dalam (DUN)," katanya.

Noh menjelaskan, tumpuan beliau dalam menimbulkan isu kecurian pasir adalah lebih kepada pembongkaran penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan kerajaan Selangor untuk menyertai industri perlombongan tersebut.

"Tapi saya sebagai timbalan pengerusi perhubungan saya akan lebih (tumpu) kepada penyelewangan pentadbiran Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), bagaimana kroni diwujudkan dalam KSSB, kerana saya dapat maklumat mengenai pentadbiran KSSB.

"Kalau anda tengok, kenyataan saya dengan (Khir) memang berbeza," katanya sambil menambah, Umno Selangor juga akan meneruskan penerangan mengenai isu tersebut melalui program jelajah ke seluruh negeri itu, melibatkan 18 ceramah yang akan diadakan sepanjang tiga minggu depan.

"Jadi dalam ceramah ini semua pun terlibat. Datuk Seri Khir pun terlibat sekali. Jadi tidak timbul saya lain, Datuk Sri Khir lain. Dari segi isu memang kita dah susun.

"Tapi kalau kata ada konflik, itu tidak ada. Tidak timbul persaingan, tapi (perbezaan) strategi. Ini memang strategi kami berdua.

"Bila kita bongkar (dari) kiri dan kanan, kita lihat rakyat telah nampak kepincangan kerajaan negeri," katanya lagi dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia di Pusat dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani turut merasmikan Persidangan Perniagaan Agro-Bio Antarabangsa Malaysia selepas menyampaikan ucaptamanya di majlis tersebut.

Tiada ulasan: