Khamis, 1 Julai 2010

Nik Aziz sokong kerajaan PR lantik LA sendiri

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetuju cadangan melantik Penasihat Undang-undang sendiri bagi kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini.

Menurut Tuan Guru, perkara yang sama pernah dibincangkan sewaktu Kelantan di bawah kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu sewaktu bergabung dengan parti Melayu Semangat 46.

“Saya tak terfikir benda ini (perkara ini) walaupun dah dibincangkan peringkat awal dahulu, tapi bila timbul semula baru saya ingat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pihak lain supaya negeri-negeri Pakatan mempunyai penasihat undang-undangnya sendiri bagi menggantikan penasihat undang-Undang yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun kata Tuan Guru lagi, yang perlu diutamakan, bukan masalah penasihat undang-Undang sahaja, sebaliknya jiwa yang menyelubungi pemimpin kerajaan negara ini bukan dari jiwa yang adil.

“Sedangkan keadilan sebenar bukan kerana demokrasi, tapi Allah yang menyuruh kepada keadilan,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mempertikaikan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan walaupun PAS mentadbir negeri itu.

“Soalnya kenapa ada JPP lagi di negeri ini. Segala wang pusat datang ke Kelantan juga tidak melalui kerajaan Kelantan, macamlah kerajaan negeri hari ini tak sah.

“Tindakan berkenaan juga seolah membayangkan kerajaan korup, macam pegawai kerajaan budak kampung, bukan lulusan universiti, jadi tak faham saya mengapa jadi begini,”ujarnya.

Katanya lagi, sekiranya beliau menjadi pengerusi mana-mana mesyuarat, orang JPP tidak datang.

“Kalau setiusaha kerajaan sendiri pun buat mesyuarat JPP tak datang juga. Jadi seolah-olah kerajaan Kelantan ini kerajaan tak diiktiraf, apa erti kita adakan pilihan raya?,”soalnya lagi.

Tiada ulasan: