Selasa, 13 Julai 2010

Najib mula lawatan kerja dua hari ke Brunei

BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini malam tadi untuk lawatan kerja dua hari ke Brunei Darussalam sempena sambutan ulang tahun ke-64 keputeraan Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, disambut oleh Menteri Pembangunan Brunei Dato Seri Setia Awang Suyol Awang Osman sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur.

Turut dalam rombongan ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hari ini, Najib akan dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (D.K) yang membawa gelaran Dato Laila Utama, oleh Paduka Sultan, yang juga Yang Di-

Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Bintang tersebut dikurniakan oleh Sultan kepada kerabat diraja atau ketua negara sahaja atas dasar perhubungan erat kedua-dua negara seperti Malaysia dan Brunei yang berjiran, selain menjadi negara anggota Asean.

Majlis penganugerahan itu diadakan di Istana Nurul Iman, dimana Najib juga akan menghadiri majlis santapan tengah hari sebelum bertolak ke Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Ku Jaafar Ku Shaari berkata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga akan menerima penganugerahan Brunei yang cukup tinggi itu di sini pada Khamis ini.

Tiada ulasan: