Ahad, 11 Julai 2010

Muhyiddin: Umno perlu selesai segala isu dalam lima bulan


KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi tempoh sehingga akhir tahun ini kepada Umno agak kembali bersatu - di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan.

Timbalan Presiden Umno memberi amaran kepada parti kebangsaan Melayu berusia 53 ini supaya mengambil segala langkah untuk menyelesaikan perbalahan sesama sendiri memandangkan mereka perlu memperkukuhkan parti untuk kembali memperolehi sokongan yang merosot dua tahun lalu.

Pilihan raya umum ke-13 ini bakal menjadi yang pertama bagi beliau selaku timbalan perdana menteri dan bagi Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri.

“Soal perpaduan dalam parti adalah sangat penting dalam Umno. Saya mengatakan yang ini sebagai seorang timbalan presiden Umno dan sebagai timbalan perdana menteri, kita perlu kekal kukuh, kita perlu menyelesaikan yang ini sebelum akhir tahun,” kata Muhyiddin ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan bahagian Ampang, dihadiri kira-kira 300 orang di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, beliau sedar wujudnya sesetengah bahagian yang berhadapan dengan masalah sistem “menyenarai hitam” yang diamalkan oleh sekumpulan ahli yang bermusuhan sesama sendiri.

“Sesetengah daripada ahli kita dah tak sedar diri. Mereka bergaduh, terlibat dalam konflik dengan pemimpin-pemimpin dan pembantu-pembantu mereka.

“Sesetengah pemimpin tidak mahu membantu kawasan atau bahagian, hanya kerana adanya pemimpin muda yang lebih popular berbanding dia. Jangan lakukan ini, jangan senarai hitamkan kawasan,” rayu Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu beliau bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang prihatin bahawa masyarakat Melayu akan menjadi minoriti jika mereka tidak bersatu.

“Ini sama dengan apa yang diperkatakan oleh Tun Dr. Mahathir. Jika 60 peratus orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan politik, maka Umno hanya akan mendapat 20 peratus.

“Ini adalah kiraan yang mudah, kita tidak berada dalam zon selesa,” kata Muhyiddin.

Tiada ulasan: