Jumaat, 16 Julai 2010

Muhyiddin akan tentukan masa pertemuan dengan Nik Aziz

MALAYSIA KINI

JELI – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan masa yang sesuai untuk pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan syor kerjasama Umno-PAS yang muncul sekali lagi awal minggu ini.

“Saya menghargai sikap Datuk Nik Abdul Aziz yang terbuka dalam hal ini,” kata Timbalan Presiden Umno ini selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli di sini hari ini.

Beliau berkata perkara yang penting ialah perpaduan antara PAS dan Umno itu terjalin kerana ia merupakan perkara yang baik.

Muhyiddin berkata kerjasama itu perlu dibincangkan atas permintaan beberapa pihak yang mahukan orang Melayu bersatu kembali.

Beliau menafikan dakwaan yang Umno lemah kerana cuba menjalinkan kerjasama dengan PAS.

“Umno ada kekuatan tersendiri dan merupakan sebuah parti yang memperjuangkan agama Islam serta orang Melayu,” katanya.

Semalam Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengenai “apa juga perkara”.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

Muhyiddin mengadakan lawatan kerja ke Kelantan hari ini.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata Umno sedia menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Tiada ulasan: