Selasa, 20 Julai 2010

Muhammad Taib tidak merajuk…


mat-taib Muda Mohd Noor

PETALING JAYA : Umno Selangor akan menemui Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk mendapatkan penjelasan mengapa beliau menyerahkan tugas ketua Umno bahagian Kelana Jaya kepada timbalannya, Datuk Yahya Bujang

Ahli jawatankuasa (AJK) Umno negeri, Syukur Idrus berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.

Bagaimanapun, bekas ketua pemuda Umno Selangor itu menafikan Muhammad menghilangkan diri kerana merajuk sebagaimana yang anggapan sesetengah pihak.

"Tan Sri (Muhammad) sebagai seorang tokoh veteran sebagaimana yang saya kenali bukan seorang yang mudah merajuk.

"Jika beliau mahu merajuk beliau boleh berbuat demikian sejak beberapa tahun lalu apabila beliau tidak dilantik sebarang jawatan dalam kabinet walaupun menjadi naib presiden Umno.

Muhammad yang lebih dikenali dengan panggilan Mike Tyson menjadi menteri besar Selangor dari tahun 1986 hinggan 1997. Beliau pernah menjadi menteri pembangunan luar bandar dan ketua penerangan Umno semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Yahya dalam kenyataan yang dihantar kepada FMT berkata, Muhammad telah menyerahkan tugas-tugas ketua bahagian kepada beliau sejak April tahun lepas.

"Saya telah memaklumkan perkara itu kepada jawatankuasa perhubungan Umno Selangor dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengerusi Umno negeri bahawa saya telah diberi mandat oleh tan Sri Muhammad menjalankan tugas-tugas ketua bahagian Kelana Jaya.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua AJK bahagian malah pelantikan pegawai bahagian dan jawatankuasa tambahan juga dibuat oleh saya sendiri," katanya.

Yahya juga menggesa kepimpinan parti agar desakan supaya Muhammad melepaskan jawatan ketua bahagian Kelana Jaya dihentikan.

Beliau juga berpendapat isu tersebut tidak perlu dibawa ke majlis tertinggi (MT) Umno kerana isu itu kecil sahaja.

"Sekiranya saya menghadapi masalah dalam menguruskan pentadbiran Umno bahagian, saya akan mengutarakan kepada pengerusi atau timbalan pengerusi Umno Selangor untuk dibincangkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad tidak dapat dihubungi untuk mendapat komen.

Tiada ulasan: