Sabtu, 3 Julai 2010

MP Tawau Pertikai Penyerahan Blok L Dan M Kepada Brunei

KELAB GREENBOC

Sabah MP pertikai serah Blok L & M kepada Brunei

Ahli Parlimen Tawau Chua Soon Bui menggesa disediakan satu ‘Kertas Putih’ mengenai penyerahan tiga juta ekar kawasan perairan maritim yang kaya dengan minyak dan gas kepada Brunei.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Progresif Sabah berkata rakyat Malaysia masih keliru dan ingin tahu kebenaran disebalik penyerahan dua blok berikutan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh berbagai wakil kerajaan.

Kenyataan-kenyataan itu bagaimanapun gagal menjawab pelbagai keraguan yang timbul membabitkan kerugian sebanyak RM320 bilion hasil minyak dan gas kepada Malaysia.

"Kita bukan sahaja kehilangan sumber minyak dan gas yang berharga, malah juga kehilangan wilayah perairan untuk tujuan pengangkutan, hidupan marin dan sumber makanan," kata Chua.

"Kertas Putih itu bertujuan untuk faedah dan memelihara kepentingan semua rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Labuan.

"Saya timbulkan persoalan ini kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menjelaskan segala kesangsian yang timbul agar hak dan kepentingan rakyat senantiasa dilindungi," katanya dalam satu ucapan penangguhan di Parlimen baru-baru ini.

Chua menegaskan rakyat selama ini mempersoalkan kesahihan penyerahan dua blok itu, terutamanya sama ada kawasan maritim Sabah (utara Labuan) disempadankan semula, atau langkah ini melanggar Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan hingga boleh menyebabkan ianya terbatal dan tidak mengikut perlembagaan.

Kalau Malaysia boleh merujuk kes Pulau Sipadan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan memenangi kes itu pada Disember 2002, kerajaan harus melakukan perkara yang sama dalam kes ini.

Saya yakin tiga juta ekar Blok L dan M dengan minyak dan gas bernilai RM320 bilion adalah sangat bernilai dan mendatangkan manfaat sama seperti Pulau Sipadan.

Jika benar wujudnya pertikaian dalam hal ini dengan Brunei, kenapa kes ini tidak dirujuk ke ICJ memandangkan Malaysia mempunyai kepakaran dalam undang-undang perairan antarabangsa? soal beliau.

Chua berkata, rakyat Sabah hairan kerajaan sanggup bersusah payah menuntut pulau Batu Putih dan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menuntut perairannya, tetapi langsung tidak berani untuk menuntut blok-blok itu yang kaya dengan minyak dan gas

Tiada ulasan: