Khamis, 22 Julai 2010

MIC terima Murugiah, pecat Subramaniam, KP Samy


MALAYSIA KINI


MIC telah menerima permohonan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah untuk menjadi anggota parti itu.

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti di Kuala Lumpur hari ini, bagaimanapun berkata anggota jawatankuasa majlis tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) yang telah dipecat itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam MIC.

Beliau berkata ini selaras dengan perlembagaan MIC di mana anggota baru tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam tempoh tiga tahun.

"Saya suka mengumumkan kita telah menerima beliau sebagai ahli dalam MIC. Keputusan telah dibuat dan saya mengucapkan selamat datang kepada beliau. Saya berharap beliau dapat menjalankan tugasnya sebagai timbalan menteri demi kebaikan masyarakat India," katanya kepada pemberita.

Murugiah dilaporkan telah mengemukakan permohonan untuk menganggotai MIC baru-baru ini selepas dipecat oleh Presiden PPP Datuk M Kayveas, tahun lalu berikutan perebutan kuasa dengan pemimpin parti itu.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan reaksi balas daripada PPP berhubung keputusan itu, Samy Vellu berkata: "Apabila kita buat keputusan, kita tidak bimbang tentang apa-apa perkara. Bila kamu pergi berperang, kamu tidak akan berpatah balik".

Beliau berkata permohonan Murugiah hanya diluluskan selepas difikirkan secara mendalam dan parti mendapati beliau "beliau seorang yang amat berguna kepada MIC".

Samy Vellu juga mengumumkan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menolak rayuan dan secara rasmi memecat Pengerusi MIC Petaling Jaya Selatan, V Subramaniam, dan bekas ahli jawatankuasa itu, KP Samy.

Kedudukan dua lagi iaitu bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan, dan bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, G Kumar Aaman, akan diputuskan pada mesyuarat bulan depan.

Tiada ulasan: