Sabtu, 17 Julai 2010

Mesyuarat pertama meja bulat UPSR, PMR Isnin ini

BERNAMA

PUTRAJAYA — Perbincangan meja bulat yang pertama mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diadakan di sini Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata perbincangan yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan dihadiri kira-kira 100 warga pendidik.

“Antara yang akan menghadirinya ialah Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian di kementerian, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua, Guru Besar, Kesatuan dan Persatuan Guru,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata Kementerian Pelajaran akan mengadakan sesi meja bulat bagi membincangkan secara mendalam maklum balas terhadap cadangan untuk memansuhkan UPSR dan PMR.

Semua pihak berkepentingan akan dipelawa mengambil bahagian dalam sesi tersebut untuk memberi pandangan masing-masing, katanya.

Alimuddin berkata mesyuarat itu tidak akan membuat sebarang keputusan tetapi akan mendapatkan input dan memberi peluang kepada kementerian untuk menyampaikan penerangan berhubung cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

“Penerangan dari segi kewajaran pemansuhan peperiksaan akan dibentangkan oleh Lembaga Peperiksaan dan para peserta akan diberi peluang untuk memberikan pandangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata perbincangan kedua pula akan diadakan pada 27 Julai yang akan melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, ahli politik dan pihak lain yang berminat serta berkepentingan dalam isu itu.

Alimuddin berkata input-input yang diperolehi akan dikumpulkan termasuk dari pandangan orang ramai yang disampaikan melalui media cetak dan elektronik serta e-mel yang diterima oleh kementerian.

“Kita akan merumuskan semua input yang diterima sebelum dikemukakan kepada Menteri Pelajaran pada pertengahan Ogos ini,” katanya.

Tiada ulasan: