Khamis, 1 Julai 2010

"Mesyuarat itu anjuran AJK bahagian, bukan saya"



Mat Zain Oleh Muda Mohd Noor


RANTAU PANJANG: Bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail menafikan beliau menganjurkan mesyuarat Umno bahagian di Dewan Umno di sini, Sabtu lalu.

Sebaliknya, kata beliau, mesyuarat tersebut dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Rantau Panjang.

Bagaimanapun, beliau mengakui beliau menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan pada sebelah petang Sabtu.

"Sebagai bekas ketua bahagian saya pergi…..apatah lagi dewan tersebut terletak dekat dengan rumah saya," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Mohd Zain berkata demikian ketika ketika diminta mengulas mengenai dua mesyuarat Umno bahagian itu Sabtu lalu yang diadakan di dua tempat berasingan.

Satu mesyuarat di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Lubok Jong yang dirasmikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi di dewan Umno.

Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian tersebut, Abdullah Mat Yassim mendakwa Mohd Zain mengadakan mesyuarat tersebut ‘untuk menjaga penyokong-penyokongnya di Rantau Panjang.’

Abdullah juga mendakwa, Mohd Zain menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

Mohd Zain kini digantung selama tiga tahun mulai September 2008 kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti dalam pilihan raya umum tahun yang sama.

Abdullah berkata, pihaknya telah menghantar laporan mengenai tindakan Mohd Zain kepada Ibu Pejabat Umno untuk diambil tindakan.

Tiada ulasan: