Sabtu, 17 Julai 2010

Maya: ‘Kami cerai atas persetujuan bersama’

THE MALAYSIAN INSIDER



Maya (kiri) dan Shorthouse semalam disahkan bercerai talak satu. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Keputusan untuk mengakhiri perkahwinan berusia dua tahun semalam dibuat atas persetujuan bersama, kata aktres Maya Karin dan pasangannya.

Pelakon popular itu berkata, dia dan pasangannya Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali Abdullah mengambil kira pelbagai pertimbangan sebelum memutuskan untuk menyelesaikan masalah mereka bersama.

“Kami percaya keputusan ini akan menamatkan perkara ini dan kami akan menghargai jika privasi kami dihormati tanpa sebarang spekulasi menerusi media,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini.

Maya Karin dan Muhammad Ali semalam disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Pengesahan cerai itu dibuat oleh Hakim Mohd Amran Mat Zain ketika kes itu disebut di kamarnya.

Perceraian Maya Karin, pelakon filem antaranya Pontianak Harum Sundal Malam ini dan Muhammad Ali, seorang guru sekolah antarabangsa menamatkan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangga mereka selepas dua tahun berkahwin.

Permohonan perceraian tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Mereka mengakhiri rumah tangga mereka kurang sebulan ulang tahun ketiga perkhawinan.

Pada 7 Julai lalu, Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memutuskan pernikahan pasangan itu sah dari segi hukum syarak walaupun didaftarkan selepas dua tahun bernikah di Bellagio, Itali.

Tiada ulasan: