Ahad, 11 Julai 2010

Masing: NCR modal kempen pembangkang di S'wak

MALAYSIA KINI



Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak, Datuk Gramong Juna mendakwa terdapat sekumpulan individu yang pergi ke rumah-rumah panjang dan cuba meminta RM50 daripada penghuninya sebagai bayaran untuk mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan, yang didakwa cuba mengisytihar semua tanah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai tanah negeri.

"Mereka pergi ke rumah-rumah panjang dengan membawa sebuah peta besar negeri Sarawak untuk kelihatan serius," katanya ketika berucap di perhimpunan pemilik tanah dari kawasan Majau dan Poi di Kanowit, yang akan menyertai usaha sama komersial ladang kelapa sawit dengan Antero Capitol Sdn. Bhd., sebuah syarikat pelaburan yang berpusat di Kuala Lumpur.
.
"Mereka ini adalah sekumpulan pembohong dan mahu mengelirukan orang ramai bagi memenuhi agenda tersendiri," katanya, lapor Bernama.

Berucap di majlis yang sama, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Seri Dr James Jemut Masing pula berkata NCR terus menjadi antara modal yang digemari pembangkang untuk meraih undi masyarakat Dayak dalam pilihan raya negeri Sarawak kesepuluh nanti.

Katanya, kerajaan pula akan digambarkan sebagai penjahat yang mahu merampas tanah itu daripada pemiliknya.

Dr Masing berkata umum mengetahui bahawa kerajaan amat berminat untuk memajukan NCR sebagai antara usaha membasmi kemiskinan di luar bandar khususnya di kalangan masyarakat Dayak.

Tiada ulasan: