Jumaat, 23 Julai 2010

Permohonan Kamalanathan batal petisyen Zaid - 5 Ogos

MALAYSIA KINI


Mahkamah Pilihan Raya akan memutuskan pada 5 Ogos ini sama ada membenarkan permohonan ahli parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bagi membatalkan petisyen yang difailkan oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Hakim Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam-peguam yang mewakili Zaid, Kamalanathan dan pegawai daripada Pejabat Peguam Negara yang bertindak bagi pihak pegawai pilihan raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya pilihan Raya Malaysia.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Zaid berkata mahkamah mempunyai peluang menjadikannya satu polisi dengan tidak membenarkan permohonan itu agar perkara berkenaan dapat dibicarakan.

Sebelum ini, hampir 90 peratus petisyen pilihan raya ditolak tanpa sebarang perbicaraan.

"Mahkamah ini boleh menjadikannya sebagai polisi bagi kes-kes petisyen pilihan raya akan datang.

"Tiada sesiapa boleh campur tangan dengan proses pilihan raya yang sepatutnya merupakan proses demokrasi yang sebenar dan menghampakan harapan pengundi yang mahu melihat keadilan ditegakkan,” hujah Malik (kanan).

Katanya, mahkamah tidak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap kes petisyen pilihan raya yang telah dibatalkan ketika mendengar permohonan itu, tetapi perlu menetapkan satu dasar dalam menolak permohonan sedemikian dengan terus mendengar keterangan serta bukti melalui satu perbicaraan penuh.

Sementara itu, peguam Kamalanathan - Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin hanya mengemukakan alasan teknikal bagi petisyen itu ditolak.

Katanya, pmpetisyen gagal menunjukkan dalam afidavitnya elemen janji dan tawaran yang menyebabkan pengundi Hulu Selangor mengubah fikiran mereka untuk tidak mengundi beliau.

Beliau

juga berhujah mengenai alasan teknikal dan pentadbiran iaitu bagaimana petisyen itu diserahkan dan difailkan, yang menurutnya adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan petisyen berkenaan pada 24 Mei lalu supaya keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April lalu dibatalkan atas alasan ia dicemari rasuah.

Ini dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi oleh pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada pengundi sekiranya mereka menyokong Kamalanathan.

Pada pilihan raya kecil itu, Zaid, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dari MIC dengan majoriti 1,725 undi.

Tiada ulasan: