Khamis, 22 Julai 2010

S'gor akan buat kajian semula bekalan air

MALAYSIA KINI


Kerajaan Selangor akan menjalankan kajian pengurusan dan permintaan air untuk menentukan jumlah air yang digunakan pengguna di negeri ini pada ketika ini dan masa akan datang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata data yang disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mungkin tidak tepat dalam meramalkan keperluan pengguna air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

'Selangor percaya kerajaan persekutuan terlalu bergantung kepada Kajian Sumber Air Nasional (NWRS) yang dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2000. Malah, Selangor yakin projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor juga berdasarkan kajian ini.

'Perlu diingat bahawa anggaran NWRS per kapita keperluan air tidak didasarkan pada 'Design Guidelines for Water Supply Systems' yang dihasilkan Persatuan Air Malaysia seperti kita fahami," kata Khalid dalam satu kenyataan semalam.

Sebaliknya, tegas beliau, mereka menggunakan "Pendekatan Keperluan Air” yang didasarkan pada unjuran pertumbuhan KDNK nasional yang berubah mengikut pasaran ekonomi global yang tidak stabil sejak krisis ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

Fakta penting yang perlu diberi perhatian, tegasnya, ialah anggaran NWRS untuk Selangor dan Kuala Lumpur antara 500-1,224 liter per kapita sehari pada 2010, berbanding dengan penggunaan air per kapita sehari dilaporkan untuk bandar-bandar utama dunia seperti Singapura 328 liter, Sydney 214 liter, dan New York 420 liter.

"Oleh kerana itulah kita percaya bahawa anggaran permintaan air yang melonjak naik. Jika demikian, keputusan untuk melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor itu sendiri boleh dipersoalkan,” kata menteri besar.

Menurutnya kenyataan yang dibuat oleh Ketua Eksekutif Syarikat SYABAS kelmarin bahawa jumlah bekalan air yang dihasilkan tidak cukup untuk memenuhi keperluan sepatutnya disertakan dengan unjuran permintaan terhadap air.

"Selangor mengulangi bahawa unjuran permintaan kita menunjukkan terdapat lebihan bekalan air untuk memenuhi keperluan pelanggan di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kapasiti loji rawatan air sedia ada sepatutnya cukup untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat. Tambahan, kerja-kerja naik taraf loji ini sudah dilakukan dan dijangka selesai tidak lama lagi, jadi tidak perlulah kerajaan persekutuan tergesa-gesa melaksanakan projek bernilai berbilion ringgit.

"Satu kajian yang lebih telus dan terperinci tentang keperluan air perlu dilakukan untuk menjelaskan perbezaan angka antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor.

“Tetapi kita dapat beberapa alasan iaitu pertama, pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur menggunakan air yang banyak malah lebih tinggi dari bandar-bandar maju lain di dunia; kedua,SYABAS memang belum mampu mengurangkan peratusan air tanpa hasil (NRW), atau tiga, angka-angka yang diperoleh ini memang bermasalah,” kata menteri besar.

Daripada mempromosikan projek mega yang bakal menggunakan wang pembayar cukai bagi mengekalkan bekalan air, kerajaan persekutuan sepatutnya mengambil pendekatan pengurusan permintaan dengan mengadakan perancangan unjuran, tambah Khalid.

"Selangor menekankan bahawa bekalan air mecukupi sehingga 2019 untuk pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi pada masa yang sama, Selangor juga mahu mempromosikan pemuliharaan air dan menggalakkan penggunaan yang bijaksana, kitar semula air, pengumpulan dan pemprosesan air hujan, menurunkan kadar NRW dan meneroka sumber air alternatif," tegasnya.

Tiada ulasan: