Rabu, 7 Julai 2010

Mahkamah sahkan status nikah Maya, Muhammad Ali



Maya Karin dan suaminya Muhammad Ali ketika dikerumuni pemberita sebaik sahaja Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengesahkan status pernikahan mereka yang berusia dua tahun. – Gambar Choo Choy May
KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengesahkan pernikahan pelakon Maya Karin dan pasangannya Muhammad Ali Abdullah yang berlangsung di Itali dua tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Menurut Muhammad Ali atau nama asalnya Steven David Shorthose perkahwinannya dengan Maya Karin kini adalah sah.

“Kami masih lagi suami isteri yang sah,” katanya kepada wartawan sebaik sahaja keluar dari kamar hakim.

Apabila ditanya adakah akan bercerai dengan Maya beliau enggan memberikan sebarang komen.

“Tiada komen. Saya masih lagi sayangkan Maya,” katanya.

Pasangan itu hadir secara berasingan di mahkamah.

Muhammad Ali tiba di mahkamah kira-kira pukul 3.27 petang manakala Maya Karin yang berbaju kurung dan bertudung tiba kira-kira 3.49 petang.

Sementara itu Maya Karin yang ditemui masih enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

“Adalah lebih baik saya hanya mendiamkan diri, ini lebih baik bagi saya dan dia (Steven).

“Saya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan tetapi sekarang segalanya masih berjalan dengan lancar,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali.

Peguam Maya Karin, Nor Husniah Husin berkata pasangan tersebut tidak akan didenda namun enggan mengulas lanjut.

“Tidak didenda tapi menurut undang-undang syarie mana-mana pasangan yang ingin berkahwin di luar negara perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk,” katanya.

Muhammad Ali yang hadir dengan memakai sut hitam tidak diwakili oleh peguam syarie.

Sebelum ini Maya Karin dan Muhammad Ali hadir pada 24 Jun lalu untuk membuat pengesahan nikah selepas dua tahun berkahwin.

Tiada ulasan: