Khamis, 8 Julai 2010

Mahkamah dengar saman Anwar terhadap Khairy pada 8 Dis

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan dua hari mulai 8 Dis depan untuk mendengar saman fitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh itu hari ini selepas bertemu peguam Anwar, S.Prakash, dan Badrul Munir Bukhari yang mewakili Khairy dalam kamarnya ketika kes itu disebut untuk pengurusan.

Anwar, 63, mengemukakan saman tersebut pada 7 Sept 2007 yang mendakwa Khairy, ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah memfitnahnya dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak pada Ogos 2007, dan kenyataan berunsur fitnah itu telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik negara ini pada 3 Ogos 2007.

Katanya, kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai ahli politik yang tidak boleh dipercayai orang Melayu, tidak menitikberatkan perjuangan dan hak mereka, serta boleh mengkhianati bangsa itu semata-mata untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu di negara ini.

Anwar mendakwa Khairy juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar adalah seorang ejen Amerika Syarikat dan Yahudi yang bertujuan menghancurkan karier politiknya, selain berniat jahat ketika membuat kenyataan bohong, tidak berasas dan tidak benar itu.

Selain ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, Anwar turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Khairy atau ejennya daripada mengulangi kenyataan fitnah itu.

Tiada ulasan: