Rabu, 7 Julai 2010

Mahkamah: 2 Sept bagi pengurusan kes saman RM100 juta MIED terhadap Samy Vellu

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Sept ini bagi pengurusan kes berhubung saman RM100 juta yang difailkan Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) terhadap pengerusinya Datuk Seri S. Samy Vellu dan tujuh pemegang amanah cabang pendidikan MIC itu atas dakwaan salah urus sehingga menyebabkan kerugian kewangan.

Mahkamah Tinggi Dagang menetapkan tarikh itu selepas writ saman itu difailkan semalam melalui Tetuan Vas & Co.

Dalam pernyataan tuntutan itu, MIED menamakan Samy Vellu, Tan Sri M. Mahalingam, Tan Sri Dr T. Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Datuk G. Palanivel, Tan Sri Dr Karnail Singh Nijhar, Tan Sri K.Kumaran, Tan Sri G. Vadiveloo dan sebuah firma, Kumpulan Naga sebagai defendan.

MIED mendakwa kesemua defendan telah melakukan kecuaian, kesalahan aturan kewangan, kemungkiran tanggungjawab sebagai pemegang amanah, juruaudit, dan fidusiari, yang telah membawa kerugian besar kapada MIEd.

Dalam pernyataan tuntutannya, ia juga mahu satu perintah injunksi bagi menghalang dan menyekat Samy Vellu daripada terus berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah dan pemegang amanah MIED.

Ia juga mahu Samy Vellu dilucutkan keahlian beliau dari MIED dan perintah bahawa Samy Vellu mengembalikan kesemua wang dan atau apa keuntungan dan kepentingan dari dana MIED yangg telah diterima olehnya (Samy Vellu) sama ada secara langsung atau melalui ahli keluarga beliau atau kawan rapat beliau.

MIED mahu perintah mahkamah bahawa Samy Vellu membayar balik kesemua kerugian yang telah dialami oleh MIED dalam tempoh masa di mana beliau telah mentadbir sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah.

MIED menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi untuk pemecahan kewajipan fidusiari, ganti rugi untuk pecah amanah dan kecuaian dari semua defendan yang kesemuanya berjumlah RM100 juta.

MIED menfailkan saman itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun lepas, membenarkan permohonan bekas ketua Pemuda MIC A. Vigneswaran untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap pemegang amanah MIED.

Vigneswaran, yang merupakan seorang anggota MIED, memohon kebenaran mengikut ketetapan Seksyen 181A, Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan pihak-pihak yang mahu dinamakan bagi pihak syarikat sebagai plaintif dalam saman itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk berbuat demikian

Tiada ulasan: