Selasa, 20 Julai 2010

Lebih 70 peratus anggota Puteri Umno telah daftar sebagai pengundi

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Lebih 70 peratus daripada kira-kira 340,000 anggota Puteri Umno di seluruh negara telah mendaftar sebagai pengundi, kata Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, gerakan untuk mendaftar pemilih sedang giat diadakan seluruh cawangan Puteri Umno bagi memastikan setiap anggota yang sudah cukup umur untuk mengundi berdaftar sebagai pengundi.

"Kita yakin sasaran kita mencapai sekurang-kurang 90 peratus anggota sebagai pengundi dapat dicapai menjelang pilihan raya umum akan datang, jumlah itu tidak akan mencapai 100 peratus oleh kerana ahli kita juga ada yang berumur 18 hingga 20 tahun iaitu belum layak untuk menjadi pengundi," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program "Sinar Kasih Puteri" di Pusat Terapi Alpha One di sini hari ini, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, pergerakan itu juga telah mendaftarkan kira-kira 20,000 anggota baru pada tahun ini.

Mengenai program itu, katanya golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penghidap sakit kronik dari sekitar Setiawangsa, di sini boleh mendapatkan terapi medan elektronik di pusat terapi itu secara percuma mulai hari ini.

Tiada ulasan: