Khamis, 1 Julai 2010

Lawatan kerja MB S'gor ke S'pura

MALAYSIA KINI



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini berada di Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak Bandar Sedunia 2010 dan Minggu Air Sedunia atas jemputan kerajaan Singapura.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat yang dilantik kerajaan Selangor untuk mengemaskini dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemajuan projek pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang.

Menteri besar juga mengadakan pertemuan dengan pihak industri yang boleh membantu memastikan kejayaan projek tersebut.

Ketika sesi taklimat dengan ahli lembaga pengarah utiliti awam Singapura dan pihak berkepentingan yang lain, menteri besar menegaskan komitmen kerajaan Selangor untuk membersihkan Sungai Klang sepanjang 120 kilometer itu.

Menteri besar berkata, perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik, akan ditandatangani dalam tempoh dua bulan akan datang bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menjayakan projek tersebut.

Kerajaan selangor telah melantik tiga syarikat untuk melaksanakan projek pemulihan dan pembangunan Sungai Klang yang melibatkan pelaburan bernilai RM50 bilion dan mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Projek ini dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan sungai yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun yang pertama serta merawat air dengan kos RM1 bilion, diikuti dengan kerja pembangunan yang juga dianggarkan menelan kos RM1 bilion.

Tiga syarikat yang telah dipilih ialah TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering and Construction dan Wessex Water I-Bhd Consortium.

Menteri besar juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Menteri Mentor, Lee Kuan Yew yang telah menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan Selangor itu.

“Presiden Singapura juga mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek ini yang menunjukkan minat Singapura dan sokongan negara itu kepada kerajaan Selangor,” kata menteri besar.

Tiada ulasan: