Jumaat, 16 Julai 2010

Laporan Polis KDN Terhadap Suara Keadilan Karut

WEB PKR

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri membuat laporan polis terhadap lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan kerana mendakwa terus diterbitkan walaupun telah tamat tempoh sahlaku permit perbitan 30 Jun lalu sebagai sesuatu yang karut dan palsu.

Laporan itu juga dibuat Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) kerana akhbar 'KEADILAN' didakwa telah menyiarkan sedutan surat KDN bertarikh 2 Julai kepada Suara Keadilan yang tertera perkataan 'SULIT".

"Malam semalam, kita diberitahu KDN telah membuat laporan polis dan telah mengeluarkan kenyataan media mengatakan bahawa kita telah gagal memberi jawapan kepada surat peringatan yang menghendaki kita menjawab pada atau sebelum 12 Julai dan kita telah menjawab melalui surat yang dihantar terus kepada KDN kira-kira 3.30 petang semalam.

"Ini merupakan satu pembohongan kerana kita telah menjawab semua soalan yang diajukan kepada kita. Dan saya ingin tahu, kenapa seorang pegawai kerajaan boleh bekerja hingga 9.30 malam hanya untuk mengeluarkan satu kenyataan media? Takkan tak boleh tunggu hingga pagi ini?" tegas beliau kepada KEADILAN di Parlimen semalam.

Tambah beliau sambil berjenaka, tindakan KDN ini seolah-olah negara dalam keadaan darurat di mana jika tidak keluarkan kenyataan negara akan hancur esok.

"Inilah keadaan sekarang, satu situasi yang sungguh pelik," kata beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN.
Sivarasa menambah, tindakan KDN menggunakan isu OSA pula menunjukkan betapa ke belakang pemikiran KDN dalam menangani masalah dengan akhbar pembangkang.

"Pakatan Rakyat kini sudah sampai ke tahap di mana kita sedang berjuang mempertahankan kebebasan media, dan KDN pula hendak menggunakan OSA, satu akta yang mnghalang aliran maklumat luar.

"Inilah perbezaan kita Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Kita sedang maju kehadapan dengan memansuhkan akta yang tidak relevan tetapi mereka mahu pula mempertahankan akta yang jauh kebelakang, yang menindas, dibawa oleh penjajah dahulu.

"Kita dihalang dan KDN cuba mendiamkan kita daripada menyuarakan pendapat dan berita parti kita. Kita sebuah parti yang berdaftar dan pemimpin kita merupakan Ketua Pembangkang, kita ada hak untuk menyuarakan melalui media rasmi parti kita," tegas Sivarasa lagi.

Beliau menegaskan akan membantah surat dan kenyataan yang dikeluarkan oleh KDN, dan akan menjawab apa-apa soalan daripada polis.

"Kita sudah tahu polis ini 'alat' kerajaan Umno-BN yang digunakan sesuka hati mereka, kita juga bersedia untuk itu.

"Kita akan lawan secara politik, jika mereka mahu membawa kita ke mahkamah, kita juga bersedia. Ahkirnya saya hanya ingin katakan, melalui surat sebegini, rakyat boleh tahu ceteknya pemikiran Umno-BN dan membandingkan dengan kita di Pakatan Rakyat," kata beliau.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor telah bersedia untuk membuka semua maklumat berkenaan kerajaan negeri dan juga pentadbiran lalu agar rakyat dapat melihat dan menilai sendiri kemajuan negeri.
Hanya beberapa perincian berkenaan keselamatan negeri sahaja yang akan disimpan, dan selainnya akan dibuka untuk tatapan rakyat, kata Sivarasa.

Dengan cara ini, tambah beliau, akan dapat memberikan masyarakat secara umumnya perbezaan cara pentadbiran antara kerajaan Umno-BN dan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita sedang dalam proses menyediakan satu surat untuk diberikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dalam proses mempersiapkan satu rombongan untuk berjumpa beliau dan menyerahkan surat tersebut.

"Kami belum mendapat temujanji, tetapi akan berbuat demikian setelah mendapat temujanji dengan beliau," ujarnya.

Tiada ulasan: