Sabtu, 17 Julai 2010

LAPORAN KHAS: Aset Beku Umat Islam Dalam Bentuk Hartanah, ASB, Simpadan Tabung Haji & Tunai

PETALING JAYA: Kebanyakan 'aset beku' milik umat Islam berjumlah lebih RM40 bilion adalah dalam bentuk hartanah seperti tanah, rumah, bangunan kedai, saham syarikat, saham koperasi, simpanan ASB, Tabung Haji, unit amanah (unit trust) dan wang tunai, demikian menurut seorang peguam syarie yang pernah mengendalikan kes-kes seperti ini. Peguam Khairul Anwar Rahmat malah berkata, dalam kebanyakan kes juga, waris tidak mengetahui atau dapat mengenal pasti lokasi di mana harta tersebut tersimpan. Ini berlaku kerana orang yang memiliki harta tidak meninggalkan wasiat kepada pewaris. Dalam beberapa kes lain pula, katanya, wang tunai dan aset yang biasanya dibekukan pihak berkuasa adalah kerana tiada waris tampil menuntut hak mereka atau berlaku perbalahan di kalangan waris berkenaan tuntutan masing-masing.

“Ada yang memakan masa berbelas dan berpuluh tahun untuk diselesaikan. Ada juga yang tidak dapat diselesaikan walaupun sudah melampaui beberapa generasi pewaris. “Akibatnya ada di antara waris yang hidup melarat walaupun nenek moyang mereka kaya raya kerana isu pembahagian harta tidak dapat diselesaikan di meja rundingan,” katanya dalam pertemuan dengan The Star semalam. Menurut Khairul lagi, pihak berwajib seperti Amanah Raya tidak mempunyai pilihan selain membekukan aset yang bernilai berbilion ringgit akibat pertikaian yang tidak dapat diselesaikan di kalangan waris. Dalam kes harta orang Islam, katanya lagi, pembekuan harta sering kali berlaku kerana umat Islam sendiri kurang berpengetahuan mengenai perancangan dan penulisan wasiat kepada waris.

“Memang betul harta boleh dibahagikan kepada waris menggunakan hukum faraid yang telah ditetapkan oleh Islam.Namun, urusan wasiat akan lebih terancang jika individu tersebut menulis wasiat dan tidak timbul pembekuan wang tunai atau aset si mati tanpa wasiat.

“Masalah juga timbul jika seseorang individu tidak sempat menulis wasiat sebelum dia meninggal dunia. Urusan pembahagian harta lebih rumit jika pewaris tidak mengetahui kedudukan harta si mati, sama ada dalam bentuk wang tunai di bank, simpanan di mana-mana institusi kewangan atau lokasi di mana terletaknya harta.

“Ya memang benar, nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan, mencecah RM40 bilion,” ujarnya lagi. Menurut Khairul, perbalahan antara keluarga, kurangnya kesedaran mengenai harta pusaka dan waris sendiri tidak mengetahui wujudnya harta terbabit mengakibatkan ia tidak dituntut.

Masalah ini juga, ujar beliau, disebabkan masih ramai yang tidak memahami pentadbiran warisan, pendedahan mengenai wasiat, hibah (hadiah), pemegang amanah serta pengetahuan pengagihan harta selepas sesuatu kematian. Faktor ini, katanya lagi, akan menyebabkan keluarga berbalah, bahkan harta yang ditinggalkan menjadi punca pertikaian berlaku dan paling malang, ia akan menyebabkan harta-harta tersebut beku dari satu generasi ke generasi yang lain tanpa penyelesaian bahkan mungkin tidak dapat diselesaikan kerana membabitkan waris yang berlapis.

“Masalah seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan negara tetapi juga meninggalkan masalah dan beban terhadap waris yang berhak,” ujarnya.

Jesteru beliau menasihati orang ramai khususnya umat Islam supaya merancang pengurusan aset atau harta mereka awal-awal ketika mereka masih hidup agar pewaris atau mereka yang layak menjadi waris tidak berbalah atau mempertikaikan harta berkenaan di kemudian hari.

Tiada ulasan: