Isnin, 26 Julai 2010

Lakukah dendangan perpaduan Umno?

Ahmad Tajdid


SAYA pulang ke kampung hujung minggu lalu. Banyak tujuannya. Di samping menziarahi orang tua, teringin juga melihat-lihat rumah kampung yang dah beberapa bulan tidak dikunjungi. Satu lagi sebab istimewa adalah musim buah-buahan terutamanya durian.

Tapi bukan itu yang ingin saya ceritakan. Ada yang lebih penting dari rumah, durian dan buah-buahan. Ianya tentang isu 'perpaduan' yang sedang ghairah diperkatakan media massa mutakhir ini.

Kampung saya itu (lebih tepatnya kampung isteri saya) adalah sebuah kampung tradisional yang telah mulai hilang ciri-ciri tradisionalnya. Semuanya akibat proses pemodenan. Tak kelihatan lagi rumah-rumah kayu senibina Melaka di perkampungan pinggir bandar Alor Gajah itu. Apa yang ada dan terus dibina adalah rumah-rumah batu - besar dan kecil - mengikut kemampuan ekonomi pemiliknya.

Petang itu, ketika duduk berehat-rehat di hadapan rumah sambil makan durian, seorang kerabat datang berkunjung. Hubungannya dua pupu dengan isteri saya. Abang San (Hasan) bertanya khabar saya dan isteri. Perbualan petang itu rancak dengan pelbagai isu semasa. Semuanya berkisar tentang kampung itu dan para penerajunya. Kebetulan abang ipar pun turut serta.

"Masjid kampung ni dah tak macam dulu lagi. Azan Zohor, Asar, Subuh dah tak ada. Yang ada cuma Maghrib dan Isyak," katanya.

"Isy... Mana boleh macam tu. Solat jamaah tu fardhu kifayah. Kalau tak buat satu kampung berdosa," tingkah saya.

"Bilal dah letak jawatan. Imam pun tinggal sorang aja. Imam satu (imam tua) yang berhenti tak diganti sampai sekarang," jelasnya.

Beliau menceritakan tentang jawatankuasa masjid yang 'porak peranda' akibat sikap pengerusinya yang autokratik. Walaupun 'karat Umno', beliau dikatakan tidak memberi ruang langsung kepada rival politik daripada kelompok Umno untuk duduk sebagai ahli jawatankuasa masjid.

Di Melaka, ahli jawatankuasa masjid 'ditunjuk' oleh pemimpin politik. Ia tidak dipilih oleh ahli kariah seperti dipraktikkan di Selangor. Di negeri Hang Tuah itu, senarai ahli jawatankuasa masjid disediakan oleh Pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung). Pengerusi JKKK selalunya ialah Ketua Umno Cawangan sesebuah kampung. Senarai jawatankuasa itu pula perlu disahkan oleh wakil rakyat atau ahli dewan undangan negeri (Adun) yang juga pada kebiasaannya ialah Ketua Umno Bahagian, sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama.

"Cuba bayangkan dah tiga tahun tak buat mesyuarat. Akaun masjid tak pernah dibentang. Bilal letak jawatan pun masih terima elaun sebab pengerusi tak maklum kat Jabatan Agama yang bilal tu dah berhenti," katanya.

Memang kampung isteri saya itu kuat pengaruh Umnonya. Seperti juga kampung-kampung lain di Melaka. Jika dahulu hanya ada satu sahaja cawangan Umno, kini sudah ditambah satu lagi. Puncanya dua kelompok ahli Umno yang ada tidak mahu berkompromi. Perpecahan sesama ahli Umno ini amat kronik sehingga ada adik beradik yang tidak bertegur sapa hanya kerana berlainan kem politik.

Akhirnya 'pucuk pimpinan' Umno bahagian terpaksa bersetuju untuk menubuhkan satu lagi cawangan Umno di kampung itu. Tetapi JKKKnya tetap satu. Sebagai langkah penyelesaian, Ketua dua cawangan Umno di kampung itu akan bergilir-gilir memegang jawatan Pengerusi JKKK mengikut penggal yang ditetapkan.

Tapi timbul lagi masalah baru. Cawangan Umno yang asal juga menghadapi masalah berpuak-puak. Dan puak yang tewas dalam pemilihan lalu sedang melobi Umno bahagian supaya ditubuhkan satu lagi cawangan Umno di kampung itu. Setakat ini permintaan itu dipendamkan.

Bagaimanapun Abang San yakin cawangan ketiga itu akan ditubuhkan juga oleh 'pucuk pimpinan' bagi mengelakkan persengketaan puak itu terus membara.

Walaupun seorang penyokong Umno dan dipilih menganggotai JKKK kampung, beliau melahirkan rasa terkilan dengan apa yang berlaku di kampung itu.

Masjid, katanya harus bebas daripada pengaruh politik. Apa salahnya jika AJK masjid dipilih daripada orang Umno dan PAS.

"Ini tidak, hanya orang-orang dia (pengerusi) saja dipilih jadi AJK," katanya.

Masjid kampung itu dulu punyai seorang bilal yang berdedikasi. Hasilnya ia makmur dengan pelbagai program. Bagaimanapun bilal itu seorang aktivis PAS. Sudah tiga penggal pilihan raya umum, perkarangan rumah bilal itu dipenuhi bendera PAS dan KeADILan. Markas PAS cawangan juga didirikan dalam kawasan rumahnya.

Ini tidak disenangi beberapa ahli fanatik Umno kampung itu. Akhirnya bilal itu dilucut jawatannya dan sejak saat itu syiar Islam di masjid berkenaan beransur malap.

Ada usaha memujuk bilal tersebut untuk kembali berperanan. Tetapi syaratnya brutal, "jangan pasang lagi bendera PAS dan kalau boleh masuk Umno."

Bagaimanapun syarat itu ditolak bilal tersebut. "Saya lebih suka jadi bilal swasta," katanya pada saya ketika menziarahinya di rumah.

Pecah belah dalam masyarakat kampung akibat keghairahan berpolitik Umno ini bukan saja berlaku di kampung saya. Malah ia wujud di kampung-kampung lain di negeri paling kuat Umno dalam dunia. Melaka kini merampas gelaran itu dari Johor memandangkan tidak terdapat seorang wakil pembangkang Melayu pun di Dun Melaka berbanding dua di Johor.

Di negeri-negeri Umno lemah khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, pertelagahan sesama pemimpin Umno berlaku secara terbuka. Malah di Perlis dan Terengganu, perbalahan yang berlaku hingga membabitkan pentadbiran negeri.

Tatkala Umno sendiri berpecah dan porak peranda, saya begitu hairan memikirkan idea seorang mufti Melayu agar PAS dan Umno berpadu demi kepentingan bangsa dan agama.

Jika Umno sendiri berpecah belah di semua peringkat akibat perlumbaan merebut pangkat dan kedudukan, bagaimana mungkin ia mampu menjadi pertubuhan yang boleh menyatupadukan orang Melayu.

Cuba bayangkan di saat Umno sendiri berpecah belah dan tunggang langgang dari peringkat pusat hinggalah ke akar umbi cawangan, para pemimpinnya masih nak bercakap tentang 'perpaduan Melayu'. Malah Mursyidul Am PAS yang enggan berunding dengan Umno bagi maksud 'perpaduan' dituduh sebagai pengkhianat.

Soalnya sekarang, siapa sebenarnya yang layak dianggap PENGKHIANAT?

Tiada ulasan: