Sabtu, 17 Julai 2010

Ku Li: Perkasa ambil peluang ‘vakum’ berpunca dari Pemuda Umno

KUALA LUMPURai — Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat Perkasa, NGO berusia dua tahun ini semakin popular di kalangan orang Melayu kerana sayap Pemuda Umno telah gagal dalam memperjuangkan kepentingan mereka.

Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, tindak tanduk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyatakan sokongan kepada dasar Datuk Seri Najib Razak hanya satu helah untuk mendapatkan tempat dalam Kabinet.

“Wujud vakum dalam Pemuda Umno, sedangkan ia seharusnya menjadi jurucakap bagi orang Melayu. Tetapi kepimpinan semasa tidak bercakap tentang nasib orang Melayu,” kata beliau.

“Ini menjejaskan kekuatan Umno,” kata Tengku Razaleigh (gambar) kepada The Malaysian Insider semasa ditemu bual di sini semalam.

Bekas naib presiden Umno ini mendakwa Pemuda Umno buat masa sekarang telah kehilangan ketabahan dan tenaga dalam memperjuangkan hak orang Melayu dengan pemimpin-pemimpinnya hanya memburu kedudukan masing-masing.

“Ini kelihatan sangat menyedihkan, mereka kata dia hendak menjadi menteri... itu sebabnya dia menyokong Perdana Menteri, itu yang orang memberitahu saya,” katanya lagi.

Hakikatnya, kata Tengku Razaleigh, pada masa-masa lalu Pemuda Umno sentiasa mempersoalkan banyak isu berkaitan dengan nasib orang Melayu.

“Itu yang senantiasa menjadi peranan Pemuda Umno,” kata beliau.

Ketua Umno Gua Musang juga berkata, persekitaran dalam parti dilihat memihak kepada Perkasa untuk memikat lebih ramai ahli Umno yang bersungut.

“Menurut Ibrahim Ali, (mereka menerima permohonan) ada kira-kira 200,000 ahli. Daripada ini, 80 peratus merupakan ahli Umno,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali menubuhkan Perkasa selepas pilihan raya umum lalu bagi membela nasib orang Melayu dan Bumiputera.

Baru-baru ini beliau mendakwa pihaknya sudah menerima 200,000 borang permohonan menjadi ahli pertubuhan bukan kerajaan Melayu itu.

Perkasa mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama Mac lalu dengan dirasmikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kini, Ibrahim dan Perkasa juga terlihat dalam “perang kenyataan” dengan Khairy sambil menggesa berhenti menjadi Ahli Parlimen Rembau dan jika mahu melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno dengan segera.

Baru-baru ini dalam temu bual dengan sebuah portal Khairy berkata beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang, kemungkinan tahun depan.

“Ini adalah soal kepimpinan. Dr Mahathir, pemimpin bertekad dalam memberikan sokongan kepada Perkasa manakala kepimpinan Umno benar-benar mengabaikan (nasib orang Melayu),” kata Tengku Razaleigh putera dari Kelantan ini yang pernah menentang Dr Mahathir untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Beliau juga pernah mencuba langkah untuk bertanding jawatan itu selepas itu termasuk yang terbaru ketika musim pemilihan yang baru lalu tetapi tidak mendapat pencalonan mencukupi.

Mulai tahun depan Umno tidak akan menggunakan sistem kuota pencalonan ekoran pindaan perlembagaan tahun lalu.

Umno sedang melangsungkan persidangan perwakilan bahagian yang akan berakhir esok. Mesyuarat cawangan pula berakhir pertengahan bulan lalu.

Ketika ditanya penilaian beliau tentang perjalanan persidangan perwakilan bahagian dan cawangan, Tengku Razaleigh mendakwa, mesyuarat cawangan yang diadakan baru-baru ini ini memperlihatkan ada cawangan yang tidak mendapat kuorum mencukupi khususnya di peringkat sayap Pemuda dan Puteri.

“Saya diberitahu ada mesyuarat cawangan yang tidak cukup kuorum yang dikehendaki. Tidak cukup orang menghadiri khususnya Pemuda dan Puteri,” kata beliau.

“Jika tidak cukup kuorum, anda akan kembali seperti yang pernah berlaku pada 1987 di mana Umno boleh diisytiharkan sebagai parti yang tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan,” kata beliau merujuk kepada isu yang membawa Umno diisytiharkan haram pada 1988.

Bekas menteri kewangan berkata, beliau percaya antara sebab dinginnya kehadiran ahli kerana tahun ini bukan tahun pemilihan.

“(Ahli-ahli Umno) mereka selalu dimanjakan, mereka hanya akan hadir jika ada pemilihan dalam parti. Bila tiada pemilihan, tiada minat,” katanya.

Tiada ulasan: